Namakan sekolah sempena tokoh ulama

Sebagai mengiktiraf perjuangan dan penghargaan

Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) bersama penulis buku yang juga merupakan Asyraf Wajdi Dusuki (kanan) bersama penulis buku yang juga merupakan bapanya, Datuk Dusuki Ahmad (dua dari kanan) menunjukkan buku Khadijah Tok Selehor di Dewan Jubli Perak, Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

KOTA BHARU 3 April – Nama tokoh ulama tempatan yang tersohor boleh dijadikan alternatif kepada nama sekolah di negeri ini yang rata-ratanya dinamakan sempena nama tempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Waj­di Dusuki berkata, inisiatif tersebut secara tidak langsung mengiktiraf perjuangan dan menghargai sumbangan tokoh tersebut dalam menyebarkan ilmu agama di Kelantan.

“Terdapat ramai tokoh ulama Kelantan yang kita boleh nobatkan. Salah satunya ialah dengan cara tukar nama sekolah-sekolah di negeri ini sempena nama mereka.

“Saya rasa ini penting kerana Kelantan memang subur dengan tradisi keilmuan Islam termasuk mengasaskan sistem sekolah pondok yang berusia ratusan tahun. Kalau kita lupa nobatkan ulama-ulama itu, kita takut sumbangan mereka akan pupus begitu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran ‘Khadijah Tok Selehor’ di Dewan Jubli Perak, Padang Perdana, di sini hari ini.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, saranan tersebut dibuat bukan untuk mencampuri bidang kuasa Kementerian Pendidikan sebaliknya disuarakan beliau secara peribadi sebagai seorang anak jati negeri ini.

Sementara itu, penulis buku Khadijah Tok Selehor, Datuk Dusuki Ahmad berkata, buku tersebut menceritakan usaha ibunya dalam mengembangkan tradisi mencari ilmu di negeri ini dalam bentuk penulisan kreatif.

“Catatan peribadi mengenai pen­jelajahan ibu ditulis kerana saya mahu berkongsi perkara ini dengan masyarakat,” katanya.

Allahyarham Khadijah merupakan anak keempat ulama terkemuka, Abdul Rahman Othman yang digelar Tok Selehor oleh penduduk di negeri ini.

 

Sumber:  Utusan Malaysia Online

See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/namakan-sekolah-sempena-tokoh-ulama-1.208440#sthash.urPdtXJ3.dpuf

%d bloggers like this: