Lepasan SPM, STPM digesa rebut peluang lanjut pengajian ke IPT

 04 April 2016 12:31 AM

SAHOL HAMID ABU BAKAR (berdiri, lima dari kiri) bersama Ismail SAHOL HAMID ABU BAKAR (berdiri, lima dari kiri) bersama Ismail Kijo (berdiri, empat dari kiri) menunjukkan tanda bagus dalam Pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 di SMK Bandar Baru Ampang, Ampang, Selangor, semalam.

KUALA LUMPUR 3 April – Golongan pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) digesa merebut peluang mendaftar dalam program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 bagi memudahkan mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk program, Tan Sri Prof. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, langkah itu adalah sejajar dengan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan pelajar bumiputera yang berkelayakan tidak tercicir untuk memasuki kolej mahupun IPT.

Menurutnya, program anjuran Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia, Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dan Koperasi Profesional Putrajaya (Koprojaya) itu menyediakan 64 lokasi pendaftaran di seluruh negara sejak dilancarkan oleh Perdana Menteri di Kuala Selangor pada 21 Mac lalu.

Sahol Hamid berkata demikian ketika berucap dalam program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Ampang, dekat sini hari ini.

Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo menerusi penyertaan pelbagai kolej komuniti dan IPT tempatan, selain agensi yang berkaitan.

Menurut Sahol Hamid, program yang berlangsung di Ampang itu merupakan acara ketiga yang diadakan sejak pelancarannya menerusi penyertaan 10 agensi rakan strategik, di samping Bank Rakyat selaku penaja utama.

“Saya harap para pelajar lepasan SPM dan STPM dapat menggunakan sepenuhnya program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 apabila diadakan di 64 tempat yang ditentukan di seluruh negara.

“Di samping itu golongan ibu bapa juga perlu memanfaatkan program ini supaya dapat memastikan anak-anak mereka berpeluang meneruskan pengajian sejajar dengan harapan Perdana Menteri yang mahu menyaksikan golongan bumiputera mempunyai kelulusan akademik sewajarnya bagi menjamin masa depan individu,’’ ujarnya.

Sementara itu Ismail berkata, pihaknya akan mengambil inisia­tif menggunakan Pejabat UMNO Bahagian Ampang sebagai lokasi tetap bagi pendaftaran kepada golongan pelajar lepasan SPM dan STPM untuk melanjutkan pengajian ke kolej komuniti yang menyediakan kursus kemahiran atau terus ke IPT.

Sebelum ini Perdana Menteri ketika pelancaran aktiviti tersebut berkata, program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 menyasarkan dalam tempoh tiga tahun untuk memberi peluang kepada 150,000 lepasan SPM dan STPM bagi mengubah kehidupan mereka dengan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, program berkenaan adalah susulan keberkesanan program Jelajah Destini Anak Bangsa sebelum ini dan beliau menyasarkan faktor kejayaan sebanyak 96 peratus.

“Sejak lima tahun lepas, program Jelajah Destini Anak Bangsa berjaya membantu 30,000 lepasan SPM dan STPM yang tercicir daripada mendapat pendidikan di peringkat tinggi kerana kekangan kewangan,” jelas beliau.

Sumber:  Utusan Malaysia Online

– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/lepasan-spm-stpm-digesa-rebut-peluang-lanjut-pengajian-ke-ipt-1.208370#sthash.JofAEUqY.dpuf

%d bloggers like this: