100 sekolah di Selangor perintis program NILAM

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan ) Datuk Seri Khairil Awang (kiri) bersama Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Aminudin Adam (kanan) merasmikan Program Kem Membaca 1Malaysia Peringkat Kebangsaan di SMK Sultanah Engku Tun Aminah, Johor Bahru. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Sebanyak 100 sekolah rendah dan menengah di Selangor menjadi sekolah perintis program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) yang ditambah baik bagi menyemarakkan budaya membaca di negara ini. Program diberi nafas baharu itu antara inisiatif kementerian bagi menambah baik kualiti bacaan dalam kalangan pelajar dengan memberi keutamaan kepada bahan bacaan bukan fiksyen dan aktiviti pengayaan selepas membaca. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata mengikut analisis pelaksanaan program NILAM tahun lalu, kadar purata bacaan seorang pelajar membaca 25 buku setahun dan jumlah itu perlu ditingkatkan lagi. Sehubungan itu, katanya, program galakan membaca perlu didedahkan kepada semua pelajar tanpa mengira kaum atau taraf sosio ekonomi bagi memudahkan mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti kerana ilmu menjadi prasyarat kepada pembinaan tamadun bangsa. “Pelaksanaan program NILAM antara usaha kerajaan memastikan pencapaian kemahiran literasi dan numerasi pelajar sekolah seperti terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. “Kajian Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2012 melaporkan, kelemahan pelajar Malaysia adalah tidak dapat menjawab soalan yang menguji pemikiran aras tinggi (KBAT) disebabkan kurang membaca atau pembacaan terhad kepada genre tertentu. “Menerusi pemerkasaan Program NILAM ini, kemahiran membaca dan kualiti pembacaan akan dapat ditingkatkan, seiring perubahan bagi penghasilan serta penerbitan bahan bacaan industri buku mahupun buku elektronik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis pelancaran Kem Membaca 1Malaysia 2016 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Engku Tun Aminah, dekat sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan, Datuk Seri Khairil Awang. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Maizan Ismail. Khair berkata, pelbagai usaha dijalankan bagi menyokong usaha meningkatkan minat membaca pelajar termasuk pembangunan koleksi bahan bacaan yang menarik di pusat sumber sekolah dan pembangunan koleksi berbentuk digital yang selaras dengan minat serta gaya pembacaan pelajar masa kini. Sementara itu, Maizan berkata, pelaksanaan Bengkel Literasi Maklumat dan Media (BLMM) yang diperkenalkan PNM berupaya menjadi asas supaya generasi baharu mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat menerusi kemahiran pengurusan maklumat di internet. Katanya, sehingga bulan lalu, seramai 11,700 peserta menyertai kira-kira 170 sesi BLMM yang memberi manfaat kepada 500 institusi dan organisasi seluruh negara, sekali gus memenuhi keperluan pengguna gajet untuk memperoleh maklumat dengan mudah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Pembangunan Pendidikan) Datuk Seri Khairil Awang (kiri) bersama Timbalan Pengarah Pembangunan Teknologi Pendidikan, Teoh Boon Hai (tiga dari kanan), Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Aminudin Adam (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah Perpustakaan Negara, Maizan Ismail (dua dari kanan) menunjukkan buku modul Pengurusan PSS selepas merasmikan Program Kem Membaca 1Malaysia Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Engku Tun Aminah, Johor Bahru. – Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

Sumber: Berita Harian