Murid gunting lidah bukan dibuli

 

31samah.transformed

Datuk Abdul Samah Mat

 

SHAH ALAM: Tiada kejadian buli berlaku membabitkan seorang murid Tahun Dua di Klang, yang sebelum ini mendakwa dipaksa menggunting lidahnya sendiri, minggu lalu.

Sebaliknya, kanak-kanak berusia lapan tahun itu cedera di lidah ketika bermain gunting milik rakan sekelasnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata siasatan sejak 25 Mac lalu mendapati, tiada bukti diperoleh bagi mengukuhkan dakwaan murid terbabit dipaksa oleh sekumpulan pelajar untuk menggunting lidahnya.

Katanya, laporan guru sekolah berkenaan mendapati tiada keterangan sokongan yang boleh membabitkan murid lain dalam kes berkenaan.

“Kes dianggap selesai kerana pelajar terbabit bukan dibuli manakala kecederaan dialami adalah atas kecuaian sendiri.

“Tiada tindakan akan diambil selepas Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan laporan hasil siasatan yang diberi semalam,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian Khamis minggu lalu, seorang murid Tahun Dua mendakwa dipaksa menggunting hujung lidahnya oleh sekumpulan lima murid ketika sesi persekolahan berlangsung.

Sumber: Berita Harian