100,000 guru jadi ahli YGMB

PEKAN: Seramai 100,000 guru di seluruh negara menjadi ahli Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sejak ditubuhkan tahun lalu. Pengerusinya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata seramai 10,000 lagi guru dijangka mendaftar sebagai ahli yayasan itu menjelang hujung tahun ini.  “Jumlah guru di Malaysia setakat ini kira-kira 400,000 dan hanya 25 peratus saja mendaftar ahli YGMB setakat ini. “Kita harap lebih ramai lagi guru dapat bersama kami kerana yayasan ini ditubuhkan bagi menjaga kebajikan guru dan membantu mereka jika ada masalah.  “Bagi menambahkan jumlah keahlian kita, pelbagai program jelajah penerangan mengenai kepentingan menjadi ahli sudah dan sedang dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Guru 1Malaysia di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.  Yang turut hadir, Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Rosdi Ismail. Ketika ditanya mengenai perancangan YGMB untuk jangka pendek, Alimuddin berkata, pihaknya sedang mencari syarikat pemaju perumahan bagi membina projek perumahan guru di Jerantut.  “YGMB mempunyai tanah seluas 2.94 hektar berhampiran bandar Jerantut dan kita merancang membina kawasan perumahan di tapak berkenaan. “Buat masa ini, kita mengadakan rundingan dengan beberapa syarikat pemaju perumahan dan jika boleh, projek itu akan dimulakan dalam masa terdekat.   “Sebanyak 200 unit rumah boleh dibina di tapak itu dan apabila siap kelak, semua unit akan ditawarkan kepada guru pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

Sekolah di Kuala Krai, Jerantut ditutup dua hari

PEGAWAI Meteorologi, Mohd Hisham Mohd Anip menunjukkan status bilangan hari tanpa hujan pada lakaran peta setiap negeri di Semenanjung Malaysia di Jabatan Meteorologi Malaysia. Warna merah menunjukkan bacaan paling tinggi di mana negeri yang tidak pernah hujan selama 25 hari iaitu di Pantai Timur – Terengganu. – Foto Ghazali Kori
KAJANG: Kementerian Pendidikan mengumumkan sekolah di daerah Kuala Krai, Kelantan dan Jerantut, Pahang ditutup selama dua hari bermula esok berikutan cuaca panas melampau. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya mengarahkan penutupan itu berikutan suhu di kedua-dua daerah itu mencecah sehingga 38 darjah Celcius. “Keadaan di daerah itu sangat panas hingga mencecah 38 darjah Celcius. Kementerian sudah mengarahkan sekolah di dua daerah itu ditutup selama dua hari. “Kementerian akan terus memantau cuaca di kawasan lain, selain arahan supaya aktiviti luar daripada bilik darjah dihentikan seketika dikekalkan buat masa ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pendidikan Bersama Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasional Kajang di sini, hari ini. Penutupan di dua daerah berkenaan membabitkan 119 sekolah rendah dan menengah iaitu 54 di Kuala Krai dan 65 di Jerantut. Jumlah pelajar terbabit bagi penutupan sekolah pula ialah 41,665 pelajar sekolah rendah, menengah dan pra sekolah, iaitu 23,078 di Kuala Krai dan 18,587 di Jerantut. Sekolah di beberapa negeri diarahkan tutup sebelum ini berikutan fenomena El Nino yang melanda negara pada ketika ini menyebabkan cuaca panas dan kering.

Sumber: Berita Harian

El Nino: Sekolah di Jerantut, Kuala Krai ditutup

KUALA LUMPUR 19 April – Semua 119 sekolah di Jerantut, Pahang dan Kuala Krai, Kelantan ditutup selama dua hari bermula esok berikutan cuaca panas melampau.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kedua-dua daerah itu didapati mencapai bacaan suhu melebihi 38 darjah Celsius.

Katanya, sekolah-sekolah lain bagaimanapun beroperasi seperti biasa.

“Panas. Panas betul. Bukan sekadar pelajar sekolah, kita sendiri pun tidak tahan. Sekolah-sekolah di Jerantut dan Kuala Krai ditutup kerana mencecah suhu lebih 38 darjah Celsius,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pendidikan Bersama-sama Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasio­nal Kajang dekat sini hari ini.

Sebanyak 119 buah sekolah di Je­rantut dan Kuala Krai ditutup selama dua hari melibatkan 41,665 pelajar termasuk para pelajar pra sekolah.

Daerah Jerantut melibatkan 18,586 pelajar manakala Kuala Krai sebanyak 23,078 pelajar.

Tambah Mahdzir, pada waktu ini, semua aktiviti luar termasuk aktiviti padang dihentikan sementara bagi menjaga kesihatan para pelajar.

Beliau memberitahu, rutin para pelajar adalah datang ke sekolah, pergi ke kantin dan balik dari sekolah sahaja.

Ditanya mengenai kejadian histeria melibatkan pelajar-pelajar dan guru di Sekolah Menengah Pengkalan Chepa II, Kota Bharu, Kelantan, katanya, hal itu terserah kepada pengetua dan Pejabat Pendidikan Daerah untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Isu histeria ini merupakan isu setempat dan bukan isu nasional,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Permotoran sukar masuk sekolah sukan

image (5)

ADAM NORRODIN

 

KUALA LUMPUR 19 April – Tia­danya kemudahan litar lumba antara sebab utama sukan permotoran sukar memasuki sistem sekolah sukan di negara ini, kata Timbalan Pengarah Sukan Kementerian Pendidikan, Zainal Abas.

Malah kata Zainal, kebiasaannya hanya sukan yang berada dalam kalendar Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dimasukkan dalam sistem sekolah sukan di negara ini.

Namun kes dua pelumba Moto3 Malaysia, Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin yang tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun kerana kesukaran untuk belajar mungkin akan menukar senario tersebut.

“Sukan permotoran ini bukan dalam kalendar MSSM dan tidak di bawah Kementerian Pendidikan sepenuhnya kerana mereka (pelumba) mewakili dan dikendalikan oleh kelab masing-masing.

“Lagi pun, buat masa ini sekolah sukan tiada kemudahan untuk permotoran seperti litar lumba. Kalau kami ambil pelajar misalnya pada usia 14 tahun, mereka perlu ada lesen motosikal dan lesen berlumba,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Zainal menjelaskan, Kementerian Pendidikan sentiasa memberi sokongan kepada semua sukan, dengan memberi pelepasan kepada pelumba negara yang ingin me­nyertai kejohanan meskipun mereka menuntut di sekolah biasa.

“Kami tak halang penglibatan pelajar dalam sukan permotoran menerusi kelab-kelab sukan dan mereka boleh menyertai kejohanan di dalam mahu pun luar negara,” katanya lagi.

Adam, 18, yang mencuri tum­puan dunia selepas hampir menaiki podium sebelum terjatuh ketika menuju garisan penamat di Argentina, tiga minggu lalu sepatutnya mengambil SPM tahun lalu.

Dia terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana menghabiskan banyak masa dengan menyertai perlumbaan di Sepanyol.

Bagaimanapun bapanya, Mohd. Norrodin Jalil mengakui, beliau mahu melihat putera ketiganya berjaya dalam pelajaran dan juga karier.

Selain Adam, Khairul Idham, juara Moto3 di Argentina juga mahu menangguhkan peperiksaan SPM tahun ini.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Jabatan agama, pendidikan perlu bekerjasama pantau keselamatan sekolah

 

PADANG TERAP 19 April – Semua jabatan agama Islam disaran me­nga­dakan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan di negeri ma­sing-masing bagi memantau aspek keselamatan bangunan di sekolah agama di bawah kelolaannya.

Mahdzir Khalid

                                                                         Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya membenarkan jalinan kerjasama itu bagi bersama-sama mencari resolusi untuk meningkatkan keselamatan bangunan terutama berkaitan pendawaian elektrik.

“Dalam cuaca panas akibat kesan fenomen El Nino ini, boleh menyebabkan kebakaran lebih senang berlaku walaupun dengan hanya sedikit cetusan.

“Dengan kerjasama itu, Jabatan Pendidikan negeri boleh memberi nasihat dan menyelaras dengan pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan kesempurnaan bangu­nan yang digunakan.

“Jadi, saya minta jabatan agama Islam untuk mengambil tindakan segera dengan Jabatan Pendidikan negeri untuk memastikan semua sekolah agama dapat memenuhi prosedur keselamatan bangunan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Festival Intifal dan Anugerah Cemerlang SMA Al -Khairiah 2016 di sini hari ini.

Difahamkan ketika ini kurang daripada 100 berbanding ribuan sekolah pondok dan maahad tahfiz yang dibuka di negara ini memiliki Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Dalam pada itu, Mahdzir memberitahu, pihaknya sentiasa membuat pemantauan terutama berkaitan aspek pendawaian terutama di sekolah-sekolah yang sudah tua bagi mengelakkan bencana kebakaran berlaku.

“Menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang ada, setiap Jabatan Pendidikan akan dapat mengenal pasti sekolah-sekolah yang perlu diberi keutamaan untuk diselenggara segera.

“Kita juga telah memberi peruntukan kepada Jabatan Pendidikan bagi menyelenggara sekolah-sekolah yang memerlukan dalam usaha memastikan bangunan yang digunakan selamat digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

Demonstrasi bantah pertukaran mengejut pengetua SMK Zainab 1

image (4)

SEBAHAGIAN daripada pelajar membuat demonstrasi aman membantah pertukaran mengejut seorang pengetua di pintu hadapan SMK Zainab 1, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/FIRDAUS HASSAN

 

KOTA BHARU 19 April – Ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zainab 1, di sini hari ini berhimpun bagi membantah pertukaran Pengetuanya, Norasimah Ab. Rasid yang didakwa dibuat secara mengejut dengan campur tangan pihak tertentu.

Demonstrasi secara aman yang bermula kira-kira pukul 3.30 petang itu disertai lebih 50 ibu bapa termasuk pelajar tingkatan satu hingga lima di luar pagar sekolah.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Zainab 1, Dr. Nik Norliza Nik Hasan berkata, pihaknya sebulat suara menentang pertukaran Norasimah kerana ia dilakukan dengan cara yang amat pelik.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Alumni sekolah tersebut berkata, pihaknya percaya pertukaran dilakukan secara tergesa-gesa itu melibatkan campur tangan pihak tertentu bermotifkan peribadi terhadap Norasimah.

“PIBG mengambil inisiatif meminta para pelajar, bekas pelajar dan ibu bapa menandatangani petisyen meminta pengetua itu dikekalkan demi memastikan ke­sinambungan kecemerlangan sekolah.

“Wakil PIBG sendiri akan me­nyerahkan petisyen dan surat bantahan rasmi kepada pihak Kementerian Pendidikan di Putrajaya,” katanya di sini hari ini .

Difahamkan, surat pertukaran Norasimah, 58, dikeluarkan pada 1 April dan beliau diarahkan melapor diri di sekolah baharu pada 10 April.

Bagaimanapun surat pertukaran kontroversi tanpa menyatakan alasan tersebut hanya diserahkan kepadanya oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri, semalam.

Seorang bapa kepada pelajar yang mahu dikenali sebagai Azhar mendakwa, pertukaran Norasimah mungkin disebabkan campur tangan pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan cara beliau mentadbir sekolah.

“Ada pihak sebelum ini pernah mengugut mahu menukar Norasimah selepas beliau melaksanakan peraturan pemakaian tudung labuh serta mengarahkan pelajar hadir ke sekolah tepat pada masa­nya.

“Kami percaya individu ini menggunakan pengaruhnya untuk menukar Norasimah walaupun beliau seorang pengetua cemerlang, disayangi pelajar dan warga kerja selain berjaya mentadbir sekolah tanpa sebarang masalah,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar tingkatan empat yang hanya mahu dikenali sebagai Wani, memberitahu, dia dan rakan-rakan tidak dapat menerima pertukaran tersebut kerana terlalu menyayangi Norasimah.

“Beliau ibarat ibu bagi kami. Sukar untuk kami biarkan beliau pergi begitu sahaja tanpa sebarang alasan kukuh. Malah ibu bapa sendiri menyokong supaya kami membuat demonstrasi membantah pertukaran mengejut ini,” katanya.

 

Sumber: Utusan Malaysia

Lulusan kolej vokasional laris

image (3)

MAHDZIR KHALID (dua dari kiri) hadir perjumpaan pengetua-pengetua Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasional Kajang, Selangor, semalam. UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin

 

KUALA LUMPUR 19 April – Sebanyak 20 peratus daripada 2,806 pelajar kumpulan pertama yang akan menamatkan pengajian diploma dari kolej vokasional pada Mei ini sudah ditawarkan pekerjaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, mereka yang ditawarkan kerja adalah dalam pelbagai bidang termasuk automotif.

Katanya, gaji yang ditawarkan bermula daripada RM1,500 sehingga RM2,200 sebulan atau pun mengikut kadar syarikat-syarikat yang memberi tawaran.

“Ini kohort pertama kolej vokasional. Sekarang, 20 peratus sudah ditawar pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Menteri Pendidikan Bersama-Sama Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik di Kolej Vokasional Kajang dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Lebih 330 pengurusan tertinggi termasuk pengarah kolej vokasional dan pengetua sekolah menengah teknik hadir pada majlis itu.

Tambah Mahdzir, tawaran kerja yang dijanjikan syarikat-syarikat tempatan membuktikan keyakinan terhadap proses pengajian vokasional dalam menghasilkan pekerja berkemahiran.

Malah katanya, permohonan masuk ke semua kolej vokasional juga adalah tinggi setiap tahun.

Menurut beliau, kuota kolej vokasional adalah sekitar 22,000 orang sahaja setahun manakala yang memohon melebihi 100,000 orang.

“Ini pilihan kedua untuk para pelajar dan kita mahu kolej-kolej vokasional menjadi arus perdana.

“Sekarang, kita merancang untuk meningkatkan jumlah kemasukan pelajar ke kolej-kolej tersebut,” katanya.

Bercakap mengenai isu buli, menurut Mahdzir, isu ini bermusim dan berlaku di tempat-tempat ter­tentu sahaja.

 

Sumber: Utusan Malaysia