Program ‘From Jelai to Japan’ bermula

GURU ADAPTASI BUDAYA JEPUN

TAIPING 30 MARCH 2016. ( HM IPM619U ) Guru diberi penjelasan tentang kepantasan teknologi menghubungkan antara guru dan pelajar yang diadakan di SMK Jelai, Batu Kurau. STR/NOR RAIDAH AWANG

 

TAIPING: Program ‘From Jelai to Japan’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai, Batu Kurau, dekat sini, satu usaha transformasi dalam sistem pengajaran oleh guru sekolah luar bandar.

Program anjuran Unit Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) dan disertai lebih 60 guru dan kakitangan sokongan sekolah berkenaan mengadaptasi budaya masyarakat Jepun yang terkenal dengan ketinggian teknologi tanpa sedikitpun mengetepikan adab dan budaya tempatan.

Program berkenaan dikendalikan pakar Teknologi Maklumat yang juga Pengarah Onemyr Awareness Management, Mohd Ridzman Azzahari.

Beliau berkata, guru perlu berinovasi dan kreatif dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sesuai dengan misi dan visi sekolah serta memenuhi matlamat pendidikan negara ke arah meningkatkan kualiti pendidikan seiring dengan cabaran dunia globalisasi.

“Antara peranan guru dalam melonjakkan transformasi pendidikan negara ini adalah dengan mempersiapkan diri dalam kepantasan teknologi menghubungkan antara guru dan pelajar.

“Contohnya Jepun, walaupun teknologi mereka maju dan pantas berkembang, mereka tidak lari dari adab untuk diterapkan kepada pelajar,” katanya Sementara itu, Setiausaha Unit LADAP SMK Jelai, Johan Yazid Ziani, berkata ini adalah program pertama LADAP membabitkan guru dan anggota pelaksana termasuk kakitangan sokongan.

“Program ini, julung kali diadakan di sekolah ini dan antara pengisian latihan dalam perkhidmatan SMK Jelai membantu guru mengenai teknologi yang serba canggih,” katanya.

Seorang guru, Wismarizah Rahmin, 41, berkata melalui program berkenaan guru dapat dilatih untuk mengkaji semula, mengenalpasti dan menyelesaikan masalah proses pembelajaran di kelas membabitkan pengunaan teknologi.

Katanya, latihan yang dipraktikan dapat menonjolkan peranan guru dengan lebih efisyen dan berdaya saing dalam menempuh dunia moden di samping melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran insaniah yang diperlukan.

“Melalui program ini juga mengingatkan kita pentingnya peranan guru sebagai transformasi pendidikan negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian