Panas melampau, sekolah di Kedah, Perlis ditutup lagi

 

PULAU PINANG 30 Mac – Cuaca panas yang dijangka melanda Perlis dan Kedah sehingga tempoh 72 jam akan datang menyebabkan Kementerian Pendidikan mengarahkan semua sekolah di kedua-dua negeri itu ditutup esok.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir

                                                              Datuk Seri Mahdzir Khalid

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, arahan penutupan bagi sekolah di Perlis pula akan dilaksanakan selama dua hari iaitu sehingga Jumaat ini.

“Hari ini, suhu di Perlis mencecah 38.2 Celcius dan keadaan hampir sama juga berlaku di Kedah.

“Bagi memastikan kesihatan murid-murid tidak terjejas, maka kementerian membuat keputusan menutup sekolah di kedua-dua negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Jabatan Pendidikan negeri, di sini hari ini.

Sebelum ini, seluruh sekolah di kedua-dua negeri itu juga diarah tutup selama dua hari iaitu pada 22 dan 23 Mac lalu kerana suhu panas melampau.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan memberitahu, penutupan itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kedua-dua negeri terbabit mencatatkan suhu melebihi 37 darjah Celsius melebihi tempoh 72 jam.

“Penutupan itu melibatkan 853 buah sekolah iaitu 232 sekolah menengah dan 621 sekolah rendah yang melibatkan keseluruhan 413,786 pelajar dan 15,954 pelajar prasekolah,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

Bagaimanapun kenyataan itu berkata, penutupan sekolah itu hanya melibatkan ketidakhadiran pelajar sahaja sementara guru-guru dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.

Tambah kenyataan itu, tiada keperluan untuk pihak sekolah menggantikan hari cuti tersebut.

Pada masa sama, kenyataan itu meminta ibu bapa untuk mengawal pergerakan dan aktiviti anak-anak mereka.

Kementerian Pendidikan akan terus memantau keadaan cuaca di negeri-negeri lain dan membuat pengumuman lanjut berdasarkan keadaan semasa.

Mengulas isu buli di sekolah, Mahdzir berkata, garis panduan baharu untuk menyelesaikan serta menangani kes buli akan diedarkan ke semua sekolah minggu depan.

Menurut beliau, kementerian berpandangan jangka masa untuk menyiasat juga perlu dipercepatkan supaya kes buli yang menjadi viral tidak berterusan dijadikan spekulasi.

Dalam aspek menjatuhkan hukuman pula katanya, kementerian juga tidak bersetuju sekiranya tindakan buang sekolah diambil kerana akan menjejaskan masa depan pelajar terlibat.

“Tindakan menukarkan sekolah pelajar yang menjadi pembuli adalah lebih wajar berbanding pilihan lain, “ katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, garis panduan menangani buli yang akan diedarkan itu turut menggariskan supaya siasatan kes buli dipercepatkan.

“Arahan terbaharu antara lain memberi kuasa kepada Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan negeri untuk segera me­lakukan siasatan jika terdapat kes buli,” katanya.

Dalam masa sama, tambah beliau, Kementerian Pendidikan tidak bercadang melaksanakan semula hukuman rotan di sekolah-sekolah sebagai satu kaedah mendisiplinkan pelajar.

Sumber: Utusan Malaysia

 

%d bloggers like this: