Saya lebih mengenali Alif – Ibu

 

KLANG 29 Mac – Ibu kepada murid tahun dua yang didakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, kesal apabila ada pihak yang cuba menu­duh anaknya sengaja mengada-adakan cerita me­ngenai kejadian itu.

Siti Nurhuda

Siti Nurhuda Ibrahim, 29, berkata, sebagai ibu, dia lebih mengenali sikap serta perwatakan sebenar anak sulungnya itu.

Menurutnya, adalah lebih baik semua pihak menunggu hasil siasatan polis sebelum membuat pelbagai andaian dalam kes berkenaan.

“Saya tidak kisah dengan sebarang tuduhan terhadap anak saya. Kalau nak bercakap biarlah adil. Saya tetap dengan pendirian seperti sebelum ini.

“Apa yang nak ditakutkan? Tunggu sa­jalah hasil siasatan polis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah rendah di sini yang disifatkan paling tragis pernah berlaku Khamis lalu, Muhammad Alif Shukran dipaksa memotong lidahnya sendiri.

Dia mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama ketika waktu rehat.

Menurut Muhammad Alif Shu­kran, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang semasa dia ke tandas berseorangan.

Ketika hendak keluar dari tandas, dia ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.

Akibat kejadian itu, lidahnya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: