Alif terpaksa ‘bercuti’ – Bapa

image (3)

MUHAMMAD ALIF SHUKRAN ALIAS ditemani ibunya menghabiskan masa di rumah dengan mengulang kaji pelajaran di Bukit Tinggi, Klang, Selangor, semalam. UTUSAN/IZHAM JAAFAR

KLANG 28 Mac – Murid tahun dua yang dipaksa memotong lidahnya sendiri, Muhammad Alif Shukran Alias, 8, kini terpaksa ‘bercuti’ panjang gara-gara mahu mengelak dari­pada terus menjadi mangsa buli di sekolahnya.

Bapanya, Alias Abdullah, 34, berkata, dia mengambil langkah tersebut sehinggalah anak sulung_nya itu dapat bertukar ke sekolah lain.

Menurutnya, tindakan itu terpaksa diambil memandangkan aduan buli ke atas Alif yang didakwa dibuatnya kepada pengurusan sekolah sebelum ini masih belum mendapat maklum balas positif.

“Buat masa ini Alif tidak akan ke sekolah. Tunggu hingga dia dapat tukar sekolah baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam satu kejadian buli di sebuah sekolah rendah yang disifatkan paling tragis pernah berlaku Khamis lalu, Muhammad Alif Shukran dipaksa memotong lidahnya sendiri.

Dia mendakwa dipaksa berbuat demikian oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama ketika waktu rehat.

Menurut Muhammad Alif Shukran, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.45 petang semasa dia ke tandas berseorangan.

Ketika hendak keluar dari tandas, dia ditahan oleh murid-murid tersebut yang memaksanya menggunting lidah sendiri.

Akibat kejadian itu, lidahnya putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan.

Sementara itu, tinjauan di rumah Alif di Bukit Tinggi hari ini mendapatinya tekun menelaah pelajaran dengan bantuan ibunya, Siti Nurhuda Ibrahim, 29.

Meskipun tidak ke sekolah, dia kelihatan begitu bersemangat membaca dan belajar menggunakan buku teks serta buku latihan.

 

Sumber: Utusan

 

%d bloggers like this: