Menteri sudah diberi penjelasan larangan bawa jam

mpmpmlogo.transformed.jpg

KUALA LUMPUR: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sudah memberikan penjelasan kepada Kementerian Pendidikan berhubung keputusan melarang pelajar memakai dan membawa masuk jam tangan ke dewan peperiksaan.

Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Dr Jamil Adimin, berkata pertemuan itu diadakan pada minggu lalu bagi menjelaskan kewajaran larangan itu dilaksanakan.

“Pada pertemuan ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerima penjelasan kami dengan baik, namun beliau tidak memberi sebarang maklum balas sama ada bersetuju atau sebaliknya.

“MPM sentiasa terbuka untuk mendengar sebarang bantahan dan kami bersedia menarik balik larangan itu jika mendapat bantahan dan pandangan serius daripada semua pihak.

“Namun, ketika ini belum ada bantahan rasmi, yang ada hanyalah menerusi akhbar. Kami masih menunggu sebelum larangan dilaksanakan bermula Mei depan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Pada 18 Mac lalu, MPM memutuskan calon peperiksaan mulai Penggal 2 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 dan ujian Malaysian University English Test (MUET) sesi Julai 2016 dilarang memakai serta membawa masuk jam tangan ke dalam bilik atau dewan peperiksaan.

Mahdzir kemudian mendakwa tidak tahu menahu mengenai peraturan berkenaan dan akan mengadakan pertemuan dengan MPM bagi mendengar penjelasan sebelum larangan itu dikuatkuasakan.

Beberapa pihak tampil membantah dan meminta cadangan itu dikaji semula, antaranya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta calon peperiksaan kerana menyifatkan jam tangan sebagai satu keperluan kepada calon.

 

Sumber: Berita Harian