Hanya 15,000 penuntut pilih bidang sains

asm.transformed_0.jpg

SETIU: Hanya 15,000 penuntut di institusi pengajian tinggi memilih bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi melanjutkan pelajaran.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Akademi Sains Malaysia, Hazami Habib, berkata keadaan itu menyebabkan ketandusan kepakaran di dalam bidang berkenaan ekoran pelajar tidak meminati meneroka ketiga-tiga bidang itu.

Katanya, kira-kira 30,000 tempat disediakan di dalam bidang itu namun hanya separuh daripada mereka mengisi bidang berkenaan.

“Tidak ramai penuntut memilih bidang sains ini dan ia sekali gus menyebabkan kita kekurangan bakat dalam STI ini, …mungkin mereka juga tidak nampak peluang pekerjaan menerusi bidang ini.

“Generasi muda ini lebih cenderung untuk memilih bidang kejuruteraan mahupun pakar perubatan sebagai kerjaya mereka,” katanya selepas program Duta Sains, di sini hari ini.

Hazami berkata, pihaknya bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini giat melaksanakan pelbagai program STI termasuk Program Duta Sains bagi menarik minat lebih ramai mendalami bidang sains ini.

Langkah yang dilaksanakan ini bagi menangani masalah tempatan dengan menggunakan pendekatan sains dan teknologi, menggalak, mempromosi dan menginovasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Kita turut mengambil inisiatif dengan memupuk minat dalam bidang ini bermula dari pelajar sekolah rendah bagi menarik dan menanam minat mereka.

“Selain itu skop dan kumpulan sasar bagi program MSI ini juga turut diperluaskan agar dapat dimanfaatkan setiap peringkat masyarakat,”

katanya. Katanya, MOSTI juga telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta pada tahun ini untuk merencana dan memperkasa program STI ini. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian