47 pelajar sertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu

Oleh Nur Syafikah Shahrom dan Nurul Nadira Shaari

Kategori Pelajar Antarabangsa, Giuseppina Monaco dari Itali berpidato pada Peringkat Saringan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2016 di UNITEN, Bangi. – Foto Rosela Ismail

47 pelajar sertai Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Oleh Nur Syafikah Shahrom dan Nurul Nadira Shaari bhnews@bh.com.my Kategori Pelajar Antarabangsa, Giuseppina Monaco dari Itali berpidato pada Peringkat Saringan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2016 di UNITEN, Bangi. – Foto Rosela Ismail KUALA LUMPUR: Seramai 47 peserta dari seluruh dunia menyertai pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri edisi ke-10 yang berlangsung hari ini hingga 25 Mac ini. Penyelaras Teknikal dan Penghakiman PABM, Dr Mazlena Mohamad Hussain, berkata proses saringan kali ini adalah lebih ketat berbanding tahun sebelumnya.  “Sebelum pertandingan, peserta menjalani saringan ujian keupayaan berbahasa Melayu melalui tiga peringkat iaitu sesi bacaan, temu bual dan pidato bagi memastikan peserta yang dipilih mempunyai kualiti menguasai bahasa Melayu dengan baik.  “Bagaimanapun, penyertaan pelajar antarabangsa di Malaysia dilihat berkurangan kerana faktor masa yang singkat untuk peserta membuat persediaan,” katanya ketika ditemui di Hotel RHR Universiti Tenaga Nasional, di sini.  Mazlena berkata, keistimewaan edisi kali ini menampilkan peserta yang pernah tewas pada tahun lalu untuk kembali mencuba nasib dan ia memberi persaingan sengit dalam kalangan peserta itu sendiri. “Ini adalah bonus bagi mereka kerana sudah mengenal pasti kelemahan sebelum ini dan membuat persediaan awal,” katanya. Pelajar Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Hassan Radwan, 20, berkata tema yang dipilih untuk pertandingan kali ini berkait rapat dengan negara asalnya, Palestin. “Saya memilih tajuk ‘Keamanan di Palestin Antara Mimpi dan Realiti’ sebagai simbolik tentang keinginan rakyat di sana yang inginkan kedamaian, tetapi terpaksa menghadapi realiti situasi seperti sekarang.  Rebecca Clare Lawrence, 20, pelajar jurusan Ekonomi dan Bahasa Melayu Indonesia di Universiti of Western Australia, berkata pertandingan ini adalah cabaran besar baginya sebagai wakil Australia. “Pada awalnya, agak susah untuk bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi saya menganggap ia sebagai cabaran untuk turut serta dalam pertandingan ini,” katanya yang pertama kali menyertai pertandingan itu. Hassan dan Rebecca berpendapat, negara lain perlu mempelajari bahasa Melayu kerana ia penting untuk komunikasi di Malaysia dan ia adalah medium penting dalam menjana ekonomi dua hala.  Pertandingan ini terbahagi kepada tiga kategori iaitu kategori Alam Melayu, Antarabangsa dan Pelajar Antarabangsa di Malaysia. Antara negara yang menyertainya ialah Amerika Syarikat, Australia, Jepun, China dan United Kingdom.  Ia dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (MAKUM). Pertandingan bertemakan ‘Pengantarabangsaan Bahasa Melayu’ itu selama empat hari itu berlangsung di Hotel RHR @ UNITEN dan peringkat akhir akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.   Kategori Pelajar Antarabangsa, Claver Nzobonimpa dari Burundi berpidato pada Peringkat Saringan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri (PABM) 2016 di UNITEN, Bangi. – Foto Rosela Ismail

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/135856

Sumber: Berita Harian Online