Sekolah Terengganu diarah hentikan aktiviti luar

image

Shafruddin Ali

 

KUALA TERENGGANU 20 Mac – Semua sekolah di negeri ini diarah menghentikan aktiviti luar kelas buat sementara waktu sehingga cuaca panas serta kering berpanjangan yang melanda negara ketika ini berakhir.

Pengarah Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin berkata, pihak sekolah turut diminta menyediakan bekalan air minuman yang mencukupi di samping memastikan kemudahan mesin penyulingan air bersih dalam keadaan baik dan berfungsi.

Katanya, antara langkah lain yang perlu dipertimbangkan termasuk keperluan menyediakan span basah bagi menyejukkan badan pelajar sekiranya berlaku peningkatan suhu.

“Sesi persekolahan di negeri ini masih diteruskan seperti biasa, cuma aktiviti luar kelas seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dihentikan sehingga cuaca kembali normal. Jika perlu dilakukan juga, buatlah di dalam kelas atau di dewan dengan kawalan guru.

“Sekiranya ada sesiapa yang mengalami simptom akibat fenomena El Nino ini, segera dapatkan rawatan. Saya bersama para pegawai akan membuat lawatan dan tinjauan dari masa ke semasa bagi memastikan arahan itu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini selepas merasmikan Majlis Pembukaan dan Pemusatan Pelajar Tingkatan Enam Mod 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sultan Sulaiman, Datuk Mohd. Sabri Alwi dan Pengetua sekolah itu, Samsudin Ismail.

 

Sumber: Utusan Berita

%d bloggers like this: