Kerajaan tak mansuh biasiswa JPA – Azalina

AZALINA menerima cenderahati daripada Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mohd Taufik Nordin (dua dari kanan) ketika hadir di program santai bersama pelajar UMS di Dewan Bankuasi UMS, Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Malai Rosmah Tuah

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi menegaskan tidak pernah memansuhkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata bagi tahun 2016, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.65 bilion bagi menanggung penuntut menerusi biasiswa itu. “Jelas menunjukkan yang kerajaan tidak pernah mengetepikan soal pendidikan, justeru itu, saya berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu ini dan mengelirukan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Beliau menjelaskan demikian berikutan laporan berita bertajuk “Kerajaan jimat RM240 juta setahun pembatalan biasiswa” yang mendapat reaksi banyak pihak. Azalina berkata walaupun kerajaan membatalkan 744 biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat penjimatan RM240 juta daripada langkah itu, namun penajaan untuk penuntut terlibat tetap diteruskan. Penajaan itu bagi membolehkan mereka mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama di institut pengajian tinggi di dalam negara seperti yang diumumkan dalam Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari lalu. Azalina berkata kerajaan masih meneruskan penajaan menerusi biasiswa tajaan JPA kepada seramai 49,060 penuntut yang terdiri daripada 41,324 penuntut di dalam negara dan 7,736 penuntut di luar negara. “Dengan ini, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah memansuhkan biasiswa JPA sebagaimana yang didakwa oleh pelbagai pihak,” katanya. Beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan penerangan terperinci mengenai Program Tajaan JPA secara keseluruhan dalam masa terdekat. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian