Kerajaan rangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara – PM

NAJIB beramah mesra dengan sebahagian peserta ketika hadir pada Majlis Himpunan 20,000 Huffaz dan Perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. – Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) bagi memperkasakan institusi pendidikan tahfiz al-Quran di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Sehubungan itu, Najib menyarankan madrasah tahfiz di negara ini supaya turut memberikan pandangan dan cadangan kepada pembangunan DPTN dalam usaha memastikan institusi pendidikan tahfiz al-Quran terus subur di Malaysia. “Saya sendiri akan memberikan perhatian kepada pembentukan dan pelaksanaan DPTN,” katanya ketika berucap pada himpunan lebih 15,000 huffaz dan perasmian Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA Kebangsaan) di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, malam ini. Majlis yang kali pertama diadakan itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Najib berkata, kerajaan mendukung pendidikan tahfiz di negara ini dengan sebaiknya menerusi penubuhan Maahad Tahfiz al-Quran Wal-Qiraat sebagai unit di Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 1966. Beliau berkata, dengan penubuhan unit itu, pengajian bidang Tahfiz al-Quran bermula di Dewan Syarahan Masjid Negara pada 1 Mac 1966 dengan lapan pelajar perantis dipilih dari negeri di Malaysia. “Maahad Tahfiz adalah institusi tahfiz rasmi yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini menunjukkan betapa dekatnya pendidikan tahfiz dengan pentadbiran Kerajaan Malaysia,” katanya. Pada 1997, Maahad Tahfiz itu dinaikkan taraf sebagai satu bahagian di JAKIM. Najib berkata, selain membangunkan DPTN, kerajaan juga amat komited dalam memastikan semua pentadbiran negara menepati dengan kehendak yang digariskan oleh Islam. “Pendidikan al-Quran dan tahfiz al-Quran adalah antara ramuan terpenting dalam konteks memelihara agama, sekali gus menolak tohmahan dan fitnah golongan ekstremis terhadap agama Islam yang suci ini, sama ada fitnah dan ancaman oleh ekstremis radikal mahupun ancaman pemikiran oleh kelompok pelampau liberalisme yang semakin galak melebarkan fahaman mereka dalam kalangan masyarakat kita hari ini,” katanya. Najib juga menyambut baik penubuhan persatuan madrasah dan maahad tahfiz di negeri, yang membolehkan suara dan pandangan warga institusi tahfiz diperkasakan. “Bagi saya, ini adalah inisiatif proaktif dan positif yang sangat membantu usaha kita memartabatkan dan meningkatkan lagi bidang tahfiz al-Quran di negara ini,” katanya. Mengenai penubuhan PINTA kebangsaan yang juga gabungan kepada PINTA negeri, Perdana Menteri mencadangkan pimpinan PINTA kebangsaan memberi tumpuan kepada isu di peringkat nasional dan antarabangsa serta sentiasa bersedia aktif melebarkan skop sumbangan kepada masyarakat, negara dan antarabangsa. Najib turut mengumumkan kerajaan menyumbang dana RM10,000 kepada setiap PINTA negeri. Sepuluh wakil PINTA turut diberi peluang mengerjakan haji pada tahun ini di bawah seliaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Sebelum ini, tajaan haji hanya diberikan kepada ketua kampung dan imam masjid sahaja.

Sumber: Berita Harian