Hentikan aktiviti luar sekolah: Mahdzir

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan mengarahkan sekolah menghentikan aktiviti luar kelas memandangkan cuaca panas. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata surat pekeliling sudah dikeluarkan kepada semua sekolah sejak minggu lalu. Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebar maklumat tidak benar mengenai penutupan sekolah kerana boleh menimbulkan kekeliruan. “Kita tidak mengeluarkan arahan mengenai penutupan sekolah dan sesi persekolahan bermula esok berjalan seperti biasa. “Isu cuaca panas sama seperti jerebu sebelum ini dan kita ada Jawatankuasa Khas peringkat kebangsaan yang dianggotai beberapa kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan. “Sebarang keputusan mengenai penutupan sekolah perlu dibuat bersama,” katanya pada sidang media, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, di sini, hari ini.

Sumber: Berita Harian