Guru meninggal selepas perhimpunan

GURU MAUT / PERHIMPUNAN PAGI DI SMK LUBUK BUNTAR

SUZANA dimasukkan ke dalam kereta untuk dibawa ke Hospital Parit Buntar selepas mengadu pening ketika berucap pada perhimpunan hari pertama persekolahan SK Lubuk Buntar, semalam. – Foto ihsan pembaca

BANDAR BAHARU: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Lubuk Buntar meninggal dunia akibat sakit jantung selepas mengadu pening ketika berucap pada perhimpunan hari pertama persekolahan pagi semalam.

Guru Prinsip Akaun, Suzana Ishak, 48, baru memulakan ucapan pada perhimpunan pagi kira-kira jam 7.45 pagi apabila mengadu sakit kepala sebelum meminta guru lain meneruskan ucapan pada perhimpunan itu.

Pengetua SMK Lubuk Buntar, Azaman Abdul Rahman, berkata Suzana tiba kira-kira jam 7 pagi dan memaklumkan kepadanya beliau adalah guru bertugas minggu ini.

“Dia mengadu pening sebelum dipapah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) untuk dibawa ke dalam bilik makmal sains berdekatan kawasan perhimpunan untuk berehat.

“Ketika berbual, Suzana memberitahu dia banyak minum air kerana cuaca panas akibat bimbang terkena strok haba. Dia juga mengadu mahu muntah dan selepas dua kali muntah, Suzana hampir rebah tetapi sempat dipegang PKHEM,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu mangsa, Sazli Ishak, 44, berkata kakak keenam daripada tujuh beradik itu tidak mempunyai masalah kesihatan lain dan kematiannya pagi tadi sesuatu yang mengejutkan.

“Arwah meninggalkan seorang anak lelaki berusia sembilan tahun,” katanya. Jenazah Suzana dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir selepas solat Asar petang semalam. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan kejadian dan berkata mangsa meninggal akibat masalah jantung.

“Mangsa meninggal dalam perjalanan ke Hospital Parit Buntar, Perak,” katanya.

Sumber: Berita Harian