7,000 permohonan guru ‘duka lara’ diterima

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersalaman dengan pegawai pendidikan negeri pada Majlis Profesionalisme Pengetua dan Guru Besar di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, hari ini. – Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan menerima 7,000 permohonan pertukaran guru ‘duka lara’ sepanjang tahun lalu dengan Kelantan dan Kedah mencatat bilangan tertinggi. Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya meluluskan lebih 1,800 pertukaran setakat ini. Berdasarkan rekod, katanya, seramai 20,000 guru di seluruh negara berjauhan dengan keluarga. “Kementerian tidak melupakan masalah guru yang berjauhan dengan pasangan masing-masing dan kita berusaha menanganinya secara berperingkat. “Kita tidak mahu guru diganggu dengan beban berjauhan dengan keluarga yang mungkin menjejaskan kualiti perkhidmatan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Profesionalisme Pengetua dan Guru Besar di Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan.

Sumber: Berita Harian