Penolong Pengarah didakwa mengemukakan dokumen palsu

image (1)

PENOLONG Pengarah Pusat Kokurikulum (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur semalam, atas tuduhan memperdayakan Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu, empat tahun lalu. 

 

KUALA LUMPUR 17 Mac – Seorang Penolong Pengarah Pusat Kokurikulum mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan Jabatan Pendidikan Ne­geri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menggunakan dokumen mengandungi maklumat palsu, empat tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Ida­­yu­s­­ni Ismail, 42, didakwa mengemukakan satu dokumen pesa­nan kerajaan Malaysia bertarikh 29 November 2011 berjumlah RM7,500 bagi perihal “Perkhidmatan Mengurus Aktiviti bagi Bengkel Kerja Pengurusan Akti­viti Kejurulatihan Pusat Kokurikulum Kuala Lumpur pada 13 dan 14 Disember 2012” atas nama Felcra Travels and Tours Sdn. Bhd.

Idayusni didakwa melakukan kesalahan tersebut dengan memperakukan bahawa kerja-kerja berkenaan telah dibekalkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan, walhal kerja-kerja tersebut sebenarnya tidak dilaksanakan.

Wanita berkenaan didakwa melakukan perbuatan tersebut di Pusat Kokurikulum Jalan Beserah off Jalan Kuantan di sini pada 14 Disember 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai tuntutan palsu tersebut atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Bukhari Wan Mohd. yang mengendalikan pendakwa­an mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap Idayusni.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam pula merayu agar jaminan dikurangkan kerana menghidap penyakit darah tinggi serta perlu menjaga ibu yang tidak sihat dan adiknya yang belum bekerja.

Hakim Allaudeen Ismail kemudian menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh sementara menunggu sebutan semula kes pada 13 April ini.

 

 

Sumber : Utusan Berita

%d bloggers like this: