Ibu bapa dimaklum awal penutupan sekolah

image

P. Kamalanathan

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, selain memantau situasi cuaca panas dan kering, pengetua dan guru besar diminta untuk memaklumkan kepada ibu bapa dan pelajar berhubung arahan penutupan sekolah dengan segera.

Bagaimanapun, katanya, garis panduan untuk mengukur suhu akan diedarkan kepada semua sekolah dalam masa terdekat selepas diperhalusi oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Namun Kementerian Pendidikan telah pun mengeluarkan satu garis panduan kepada semua sekolah mengenai langkah yang perlu dilakukan oleh guru bagi mengawal situasi pelajar dan murid ketika cuaca panas dan kering.

“Garis panduan itu merangkumi pengurangan aktiviti di luar bilik darjah dengan ha­nya membenarkan pengajaran serta pembelajaran di dalam kelas sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kementerian Pendidikan akan memutuskan sama ada sekolah perlu ditutup sekiranya cuaca panas me­lampau masih berterusan selepas tamat cuti pertengahan penggal pertama persekolahan minggu ini.

Perdana Menteri memberitahu, kerajaan akan mengambil segala langkah berjaga-jaga yang perlu untuk menghadapi cuaca panas melampau ini.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, pihak kementerian telah mengarahkan agar pe­laksanaan kelas bahasa ibunda (POL) di semua sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan sekolah kebangsaan (SK) seluruh negara diteruskan dengan serta-merta.

Katanya, POL tidak dapat dilaksanakan di beberapa sekolah seperti dilaporkan menerusi laman sosial baru-baru ini kerana masalah kewangan, bagaimanapun, perkara itu telah diselesaikan oleh Kementerian Pendidikan.

“Kementerian Pendidikan telah memutuskan untuk melaksanakan POL dengan terus menyalurkan peruntukan ke sekolah-sekolah terlibat.

“Keputusan ini sekali gus menafikan dakwaan dalam media sosial bahawa kerajaan telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan POL di SMK dan SK bermula tahun ini,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia