Lelaki tampar guru didenda RM950

image (1)

MELAKA 16 Mac – Seorang pelayan hotel didenda RM950 atau penjara tujuh minggu oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menampar dan menggunakan cota untuk menakutkan-nakutkan seorang guru lelaki yang dipercayai melempang anak­nya di sebuah sekolah, Khamis lalu.

Saufie Suboh, 38, dari Taman Bachang Baru di sini didakwa menggunakan cota sebagai senjata bagi menimbulkan ketakutan kepada Mohd. Najib Mashkor, 37, di kantin Sekolah Kebangsaan Ayer Molek di sini pada pukul 7.45 pagi, 10 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, Saufie didakwa dengan sengaja menampar muka guru terbabit menggunakan tangan pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Penolong Pendaftar Kanan, Analia Kamaruddin menjatuhkan hukuman denda RM450 atau penjara tiga minggu bagi pertuduhan pertama dan denda RM500 atau penjara sebulan bagi pertuduhan kedua.

Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ketika mangsa berada di kantin sekolah, tertuduh telah datang dan bertanya kepada mangsa adakah dia menampar anak lelakinya.

Pada masa sama, tertuduh kemudian mengugut untuk mencederakan mangsa dengan cota dan terus menampar pipi kanan mangsa.

Ekoran kejadian itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kandang di sini.

Terdahulu, Saufie memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan dia menanggung keluarga termasuk ibu bapanya yang menghidap sakit kencing manis dan darah tinggi dengan gaji RM1,500.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Shazreen Nadia Saaban yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Utusan Malaysia pada 12 Mac lalu melaporkan, seorang guru Pendidikan Jasmani lebam di pipi kanan selepas dilempang bapa seorang murid tahun lima di sebuah kantin sekolah di Ayer Molek, di sini.

Guru tersebut dipercayai dilempang gara-gara menampar seorang muridnya yang dikatakan tidak mengikut arahan.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: