103 pelajar MJII terima biasiswa penuh

image

Annuar Musa (berdiri, tengah) bersama pelajar yang menerima biasiswa dalam Majlis Sesi Ramah Mesra dan Penyerahan Biasiswa Pengajian Ke Jepun Pelajar MJHEP Kumpulan Tiga di Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR 16 Mac – Sebanyak 103 pelajar kumpulan tiga Institut Perindustrian Mara-Jepun (MJII), Beranang menerima biasiswa penuh bagi menyambung pengajian ke Jepun.

Mereka dipilih berdasarkan pres­tasi cemerlang yang dicatatkan dalam akademik sebelum ini.

Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, biasiswa yang diberikan kepada pelajar cemerlang itu merupakan bukti usaha kerajaan dalam memastikan pendidikan anak Melayu dan bumiputera sentiasa terbela.

“Kerajaan sentiasa bersungguh-sungguh membela nasib rakyat termasuk dari aspek pendidikan terutama untuk Melayu dan bumiputera supaya kesemuanya tidak akan ketinggalan dalam bidang akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis sesi ramah mesra dan penyerahan biasiswa pengajian ke Jepun pelajar Program Pendidikan Tinggi Malaysia-Jepun (MJHEP) Kumpulan Tiga di sini malam ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Abdul Karim Mustafa dan Pengarah Projek MJHEP, Mat Zailani Mat Nawawi.

Sementara itu, Annuar berkata, daripada 103 pelajar yang berjaya memperoleh diploma tersebut, 49 orang mengikuti jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik manakala 54 pelajar lagi dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

“Mereka akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di 22 buah universiti di Jepun dalam bidang yang sama. Mereka akan menyambung pengajian di 11 buah universiti awam dan 11 universiti swasta,” katanya.

Di MJII, Beranang terdapat seramai 132 pelajar kumpulan lima dan 117 pelajar kumpulan empat sedang mengikuti pengajian manakala seramai 150 pelajar kumpulan enam akan mendaftar pengajian peringkat matrikulasi pada 23 April ini.

Seramai 54 pelajar MJHEP kumpulan satu telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan kembali ke Malaysia secara berperingkat-peringkat bermula Februari lalu hingga April ini.

Di Jepun pula, seramai 193 pelajar sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, 76 pelajar di peringkat ijazah sarjana dan 33 pelajar pada peringkat ijazah doktor falsafah, menjadikan jumlah keseluruhan mereka seramai 302 orang.

 

Sumber: Utusan Malaysia

%d bloggers like this: