Peranan NGO terhadap teori relativisme

DISEDARI atau tidak, penyebaran faham hak asasi yang bersandarkan kefahaman manusia, sudah berada dalam arus perdana. Penyebarannya semakin keras dan deras. Tidak ada yang salah mengenai hak asasi. Ia adalah keperluan asas setiap individu. Namun, ia menjadi salah jika tiada elemen ketuhanan dan hanya mementingkan kehendak manusia. Perlembagaan kita merangkum hak asasi di bawah tajuk kebebasan asasi. Walaupun ada beberapa perbezaan dari segi maksud dan istilah yang digunakan, iaitu ‘kebebasan’ dan ‘hak’, secara dasarnya kita tidak boleh membuat kenyataan umum bahawa Perlembagaan kita tidak menjamin hak asasi. Implikasi kepada peruntukan berkaitan kebebasan asasi sebagaimana ada dalam Perlembagaan itu menjadikan hak asasi perlu dijaga, dijamin dan dilaksana kepada setiap yang berhak mengikut kesesuaian perundangan negara. Berpegang teguh nilai agama Dalam aspek perundangan, negara kita masih berpegang dengan kukuh kepada nilai agama dan budaya dalam hal berkaitan hak asasi. Oleh itu, secara akademik, dalam teori hak asasi, kita menerima pakai teori relativisme, iaitu teori yang menerima elemen tempatan, termasuk agama dan nilai budaya serta moral. Perundangan kita tidak menerima teori universalisme walaupun keinginan untuk segelintir warga kita yang mahukan negara menerima teori universalisme atau sejagat dalam hal hak asasi. Teori universalisme hak asasi mempromosi idea bahawa hak asasi perlu diseragamkan di serata dunia. Di dalam teori universalisme ini tiada penerimaan kepada keadaan setempat; tidak mementingkan kepercayaan ‘agama’; tiada istilah ‘nilai’, ‘norma’ dan budaya. Ia adalah teori ciptaan manusia berdasarkan fikiran dan kehendak sendiri dan hasil pemikiran Barat, membentuk penjajahan Barat ke atas dunia Timur. Dari segi pemakaian, kekuatan teori ini ialah mereka mampu lobi kefahaman mereka pada peringkat antarabangsa. Kerana itu, teori ini dianggap sejagat. Sebahagian besar daripada kita amat maklum bahawa prinsip dan amalan hak asasi Barat adalah ‘bias’ atau tidak adil; segala isi hak asasi itu ditentukan Barat. Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia dan triti berkaitan hak asasi dipengaruhi secara penuh oleh puak Barat. Kuasa veto pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebagai badan pengawas hak asasi juga sememangnya dipelopori Barat. Kini, pada peringkat antarabangsa, sebarang ketidakpuasan hati mana-mana pihak terhadap pelaksanaan hak asasi boleh dibentangkan dalam beberapa proses PBB. Walaupun begitu, proses berkenaan tidaklah begitu terbuka dan pihak yang mahu sampaikan pandangan mengenai hak asasi perlu melalui kepayahan melobi sebelum dibenarkan membuat apa-apa pembentangan atau menyampaikan apa-apa cadangan dan pandangan kepada jawatan kuasa berkaitan hak asasi pada peringkat PBB. Sokong perundangan negara Dalam negara, suara kita masih lagi padu menyokong perundangan negara dan masih lagi boleh berhujah dengan teori relativisme. Kita hendaklah berusaha membawa suara ini kepada PBB. Secara teorinya, kita sentiasa boleh berhujah bahawa kita menerima hak asasi dalam konteks relativisme yang mempunyai dua pendirian utama: Pertama, relativisme yang ketat, iaitu tidak ada hak asasi manusia sejagat atau universal. Dan, semua kepercayaan atau agama dan nilai adalah budaya relatif, berkaitan dengan kesesuaian tempatan. Maka hak asasi hendaklah setiap masa bersandarkan kepada kepercayaan dan nilai tempatan. Dalam teori relativisme yang kedua, ia lebih longgar daripada yang pertama. Relativisme ini menerima prinsip hak asasi sejagat, tetapi pada masa sama menerima kemungkinan adanya persamaan dan perbezaan antara nilai tempatan dengan nilai sejagat. Dengan itu nilai tempatan diberikan tempat dalam menerima dan melaksana hak asasi, tetapi pada masa sama meraikan kesejagatan prinsip hak asasi. Kita mungkin boleh berhujah menggunakan kedua-dua aspek dalam teori relativisme ini untuk Malaysia pada peringkat PBB. Namun, kita perlu lalui proses melobi di PBB dan dari segi realitinya ia amat sukar. Oleh itu peranan badan bukan kerajaan (NGO) yang percaya kepada teori relativisme ini amat besar. Usaha ini hendaklah dijana dengan lebih berkesan; kita perlu ke peringkat PBB. Tidak lagi memadai untuk kita sekadar bersuara dalam negara dan kita hendaklah bersatu dan belajar mencontohi antara satu sama lain. Penulis ialah Profesor Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Sains Islam Malaysia (UIAM)

Sumber: Berita Harian