Ibu murid dakwa guru pernah ugut minta wang

image

Siti Shazlyna Abdul Azeez menunjukkan laporan yang dibuat terhadap seorang guru di Ayer Molek, Melaka, semalam.

MELAKA 14 Mac – Ibu kepada seorang murid tahun lima sebuah sekolah kebangsaan di Ayer Molek di sini yang baru-baru ini mendakwa anaknya ditampar guru sekolah tersebut, hari ini membuat laporan polis terhadap guru lelaki terbabit.

Dalam laporan tersebut, Siti Shazlyna Abdul Azeez, 37, mendakwa, selain anaknya ditampar guru lelaki berkenaan yang berusia 37 tahun turut mengugut anaknya supaya menyerahkan wang RM1 atau RM2 setiap kali dia tidak menyiapkan kerja sekolah atau ingin pergi ke tandas.

Dia mendakwa, berikutan tindakan guru itu, anaknya, Muhammad Hafiz Saufie, 11, kini trauma untuk ke sekolah selain mengalami luka di dalam telinga akibat ditampar guru itu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Menurut Siti Shazlyna, perbuatan itu didakwanya bukan kali pertama pernah dilakukan guru lelaki terbabit malah anaknya mendakwa sering dirotan dan pernah ditendang di kaki kerana bermain pe­madam dengan rakan di dalam kelas pada tahun lalu.

“Semasa kejadian pertama tahun lalu saya hanya mendiamkan diri tetapi kejadian pada pagi Rabu minggu lalu anak saya telah ditampar sehingga terjatuh di atas jalan sewaktu melakukan ujian Segak (Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan) di tepi padang sekolah kerana menjawab kata-kata guru tersebut.

“Saya kesal dengan tindakan guru lelaki terbabit dan saya berharap pihak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan tegas terhadapnya kerana tindakan guru itu tidak boleh diterima,” katanya ketika ditemui di hadapan sekolah tersebut di sini hari ini.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan seorang guru Pendidikan Jasmani lebam di pipi kanan selepas ditampar bapa seorang murid di sebuah kantin sekolah di Ayer Molek.

Guru berusia 37 tahun itu dipercayai ditampar gara-gara tindakannya menampar seorang murid yang dipercayai tidak mengikut arahan.

Siti Shazlyna membuat laporan di Balai Polis Banda Hilir di sini kira-kira pukul 1 petang mendakwa anaknya cedera akibat ditampar guru tersebut.

Menurutnya, guru tersebut telah membuat laporan polis sehingga suaminya ditangkap kerana menampar guru itu dan dia terpaksa membuat perkara yang sama ke­rana anaknya turut ditampar guru terbabit sehingga cedera.

 

Sumber : Utusan Malaysia

%d bloggers like this: