Usah beban guru dengan kerja pentadbiran – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Ilmi Hanafi Hasnizar yang ditemani oleh ibunya Rafidah Saridin, 51, dan bapanya Hasnizar Hassan, 55, pada Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan STPM 2015 kawasan Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perkasa hari ini. – Foto BERNAMA

BAGAN DATOH: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata guru-guru di negara ini tidak seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha ke arah akademik dan kerohanian. Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan itu perlu dilakukan untuk memperkasa guru dalam usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja berpendidikan tinggi, malah mempunyai akhlak dan sahsiah yang tinggi. Malah Ahmad Zahid berkata, perkara itu harus dijadikan keutamaan dalam usaha negara mencapai taraf negara maju seperti dikehendaki Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu 70 peratus daripada rakyat negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya peringkat diploma. “Tentunya saya setuju jika guru tidak dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaiknya menumpukan kepada aspek akademik dan sahsiah iaitu keperibadian dan kerohanian agar pembangunan seimbang dapat dikeluarkan dalam sistem pendidikan kita. “Ini kerana dalam bidang pendidikan, prestasi harus juga diukur kepada kestabilan emosi guru-guru,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Bola Sepak Piala Timbalan Perdana Menteri dan Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2015 kawasan Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perkasa di sini hari ini. Turut hadir Exco Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahya merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan, Pengarah Pendidikan negeri Rozi Puteh Ismail dan Pegawai Pendidikan Daerah Hilir Perak Sulaiman Samsudin.

Sumber: Berita Harian