Tangani isu keganasan menerusi sains

Pendidikan sains dan teknologi membawa kepada perubahan dalam kehidupan. Kemajuan dalam bidang ini penting dalam pembangunan masyarakat sejagat. Hal ini juga tidak dapat disangkal ada kesan buruk berikutan kesibukan manusia pada hari ini dalam mengejar kemajuan dan kecanggihan sehinggakan mereka alpa dan menafikan kesan buruk yang bakal menimpa. Segala penemuan dan ciptaan sains dan teknologi lahir dari akal manusia kadangkala tersasar daripada tujuan sebenar kerana tidak mengikut lunas agama. Tidak hairanlah jika banyak ciptaan sains dan teknologi juga mengundang kemudaratan jika batas penerokaan ilmu sains tidak menepati apa yang diaturkan oleh agama. Pelbagai ciptaan yang cukup canggih hasil penemuan manusia dalam teknologi pertahanan mampu melindungi negara daripada diserang musuh. Pelbagai bentuk alat pertahanan daripada senjata sehinggalah kepada alat kelengkapan perang turut mengiringi kemajuan sains dan teknologi. Jika dilihat dari satu sudut, ciptaan dan penemuan ini mungkin boleh membawa kebaikan kepada negara. Banyak lagi kesan akibat kecanggihan alatan perang ini yang membawa kemusnahan dunia, termasuk alam sekitar dan juga banyaknya jiwa yang terkorban dek kerakusan manusia. Cuba kita singkap kisah pesawat Boeing 777 MH17 milik Malaysia Airlines yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 di wilayah bergolak Torez, Ukraine di kawasan tidak jauh dari sempadan Russia. Semua penumpang dan anak kapal maut. Hasil penyiasatan antarabangsa mendapati pesawat MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu udara dari permukaan (SAM). Peluru berpandu SAM ini adalah senjata tentera yang direka khas untuk mengesan dan memusnahkan pesawat pejuang musuh yang berkeupayaan untuk bergerak lebih laju daripada pesawat komersial seperti MH17. Pada awal 2016 ini, dunia dikejutkan dengan sebuah kawasan tumpuan pelancong di Istanbul yang digegarkan dengan letupan menyebabkan sekurang-kurangnya 10 terbunuh, manakala di Jakarta, enam maut akibat tindakan pengebom bunuh diri. Pengebom bunuh diri ini dikaitkan dengan kumpulan militan IS, iaitu kumpulan radikal yang menggunakan nama Islam dan kini menguasai sebahagian besar kawasan di timur Syria, di utara serta barat Iraq. Kumpulan ini menggunakan taktik ganas termasuk pembunuhan beramai-ramai musuh yang ditangkap, penculikan dan memenggal kepala petugas media dari negara luar sehingga menyebabkan campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS). Di Palestin pula, setiap hari berlaku pembunuhan terhadap orang awam oleh tentera Israel. Apakah dunia harus berdiam diri dengan kerakusan manusia yang bijak pandai mencipta senjata tanpa penggunaan yang sewajarnya? Senjata biologi Penciptaan senjata biologi yang menggunakan patogen seperti bakteria, virus, atau organisme penghasil penyakit sebagai alat untuk membunuh, melukai atau melumpuhkan musuh. Dalam pengertian lebih luas, senjata biologi tidak hanya organisme patogen, malah toksin berbahaya yang dihasilkan oleh organisme tertentu. Justeru, senjata biologi tidak hanya menyerang manusia, tetapi juga haiwan dan tanaman. Dalam pembuatan senjata biologi, agen biologi adalah komponen penting yang harus diteliti terlebih dahulu sebelum diaplikasikan. Beberapa agen biologi dan penyakit yang pernah direncanakan untuk dijadikan senjata atau sudah pernah dijadikan senjata biologi di dunia ialah Bacillus anthracis (Antrax), Brucella sp. (Brucellosis), Chlamydia psittaci (Psittacosis), Coxiella burnetii (Demam Q), Vibrio cholerae (Kolera) dan Virus Ebola. Akhir-akhir ini kita dikejutkan pula dengan virus zika yang dikatakan sejenis senjata biologi yang dicipta, dikaitkan dengan agenda untuk mengurangkan populasi umat manusia. Sejauh mana kebenarannya, masih menjadi tanda tanya. Kesan penyalahgunaan ilmu sains menyebabkan masyarakat menganggap saintis sebagai seorang yang tidak berperikemanusiaan, tidak bertanggungjawab terhadap ciptaan mereka serta tidak beretika kerana penciptaan senjata yang membawa kemudaratan. Keghairahan dalam mengejar pengiktirafan dalam penghasilan sesuatu teknologi sehingga mereka alpa terhadap tanggungjawab sosial. Hakikatnya, apa juga kemajuan dicapai perlu berlandaskan nilai agama dan mengikut batas penerokaan ilmu ditetapkan. Natijahnya, barulah kemajuan dan pembangunan tidak terpesong dan tidak mendatangkan keburukan kepada ummah kerana keburukan itu kita juga yang menciptanya.

* Penulis ialah pensyarah kanan (Pendidikan Sains) Jabatan Pengajian Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris

Sumber: Berita Harian