Sasar 70 peratus rakyat sekurang-kurangnya ada diploma – TPM

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan orang ramai ketika hadir di majlis perasmian Karnival Bola Sepak Piala Timbalan Perdana Menteri dan Anugerah Kecermelangan SPM dan STPM 2015 kawasan Parlimen Bagan Datoh di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perkasa, Hutan Melintang. – Foto Muhaizan Yahya

HUTAN MELINTANG: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak menggembleng tenaga bagi memastikan 70 peratus daripada rakyat negara ini mempunyai pendidikan sekurang-kurangnya diploma. Timbalan Perdana Menteri berkata, sasaran itu selaras penetapan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bahawa prasyarat negara maju ialah 70 peratus penduduk mempunyai pendidikan tinggi. “Jadi, kita perlu memastikan sebahagian besar penduduk negara ini mempunyai diploma, ijazah pertama, sarjana atau doktor falsafah. Ini kerana pencapaian 70 peratus ini akan meletakkan Malaysia setaraf dengan negara maju lain,” katanya. Beliau berucap merasmikan Kejohanan Bola Sepak Sekolah Menengah Hilir Perak merebut Piala Timbalan Perdana Menteri, Majlis Anugerah Kecemerlangan STPM dan SPM 2015 Parlimen Bagan Datoh serta majlis pecah tanah Dewan Terbuka Perkasa di SMK Perkasa, di sini pagi tadi. Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, sasaran itu turut meliputi usaha menjadikan golongan muda negara bukan sekadar berpelajaran tetapi juga berpendidikan, iaitu seimbang pencapaian fizikal dan rohani. Katanya, kemajuan secara holistik untuk pendidikan penting kerana akal yang sihat terletak pada tubuh yang sihat. “Sokongan ibu bapa penting bagi memastikan matlamat itu dicapai,” katanya yang turut mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan membina dewan terbuka di semua sekolah menengah dalam Parlimen Bagan Datoh. Katanya, beliau akan berusaha untuk memastikan semua sekolah menengah di daerah Hilir Perak mendapat peruntukan serupa bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan.

Sumber: Berita Harian