Program 2U2I penuhi permintaan, tingkat kebolehpasaran graduan

KESANNYA mungkin dapat dilihat selepas 10 atau 15 tahun akan datang tetapi ia dilihat mampu mengatasi isu graduan menganggur kerana tidak memenuhi kehendak pasaran pekerjaan terutama dalam sektor swasta yang menyediakan 90 peratus peluang pekerjaan. Isu kurang pengalaman bekerja juga boleh diketepikan apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Program Dua Universiti + Dua Industri (2U2I) di beberapa universiti awam pada tahun ini. Ini bermakna mahasiswa menjalani latihan amali lebih lama berbanding biasa tetapi persoalannya, adakah cukup ruang yang menampung lebih 400,000 pelatih serentak dan bagaimana dengan konsep pelaksanaannya. Wartawan BH Ahad, MOHD AZIS NGAH dan MOHD ANWAR PATHO ROHMAN mendapatkan penjelasan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris dan Pengarah Eksekutif, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan untuk membincangkan isu ini.

Soalan: UPM antara universiti terpilih melaksanakan program 2u2i. Apa ulasan Prof

Jawapan: Program 2U2I yang UPM wujudkan ini adalah bagi Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Perladangan. Program ini tercetus ketika kami mengadakan perbincangan dengan KPT bagaimana hendak melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran dan industri. Secara ringkas, menerusi program ini, pelajar dikehendaki belajar di universiti selama dua tahun dan kemudian meneruskan pembelajaran secara hands on dengan industri selama dua tahun. Dalam model dihasilkan ini, kami bekerjasama dengan The Incorporated Society of Planters (ISP) untuk merangka program ini. Buat masa ini, 30 pelajar akan mengikuti program baharu ini. Program ini, pelajar bukan saja akan memperoleh ijazah, bahkan sijil perladangan daripada syarikat peladangan yang menyertai program ini. Dengan sijil ini, pelajar mempunyai nilai tambah iaitu sijil profesional pengurusan ladang. Sijil ini diiktiraf oleh ISP, sekali gus melayakkan mereka untuk bekerja di mana saja syarikat yang bernaung di bawah ISP. Dalam kes UPM, pelajar ini akan mengikuti kursus di FELDA dan Sime Darby.

S: Bilakah program ini akan bermula?

J: Program bermula September ini. Sebenarnya UPM sudah bersedia untuk melaksanakan program ini sekarang, tetapi kementerian mengarahkan kami untuk memulakan semua program baharu pada September kerana setiap program baharu perlu dimulakan pada sesi pengajian baharu. Semua pelajar ini ditemu bual sebelum dipilih. Mereka belajar selama empat semester di UPM dan empat semester lagi di lapangan. Mereka akan belajar secara menyeluruh aspek pengurusan ladang daripada semester lima hingga lapan. Industri akan mendedahkan kepada mereka segala aspek pengurusan ladang termasuk cara menebang hutan yang mesra alam, menguruskan tanaman dan menguruskan sumber manusia. Setiap semester, mereka diperuntukkan 14 jam kredit. Pengajar daripada industri akan mengajar mereka dari mula sehingga akhir. Pelajar ini akan dipantau pensyarah. Mereka tidak ikuti kuliah tetapi ada ujian dan penilaian kemahiran di ladang. Akhir program, mereka dikehendaki membuat pembentangan kepada universiti.

S: Ini adalah usaha meningkatkan kebolehpasaran, persediaan dan kemahiran sebelum ke alam pekerjaan. Apa yang perlu dilakukan industri untuk membantu universiti?

J: Ia memerlukan komitmen bersama antara universiti dan industri. Seperti program yang UPM buat ini, pihak industri perlu beri sokongan. Merujuk kepada program kami, ia sebenarnya permintaan industri. Industri mendedahkan mereka memerlukan graduan untuk menjadi pengurus dan penolong pengurus ladang. Industri perladangan memerlukan pengurus yang ramai. Mereka bukan sekadar mengurus ladang, tetapi pekerja dan semua aspek peladangan. Dengan kerjasama industri ini, kita mampu menghantar pelajar kita bekerja di luar negara. Kita boleh ‘mengeksport’ mereka. Ini satu anjakan paradigma iaitu sambil belajar terus menimba pengalaman, menerima sijil pengurusan ladang. Program ini bakal memenuhi kehendak industri. Namun, untuk universiti merangka sendiri program tanpa kerjasama industri, ia sukar. Keperluan industri berbeza. Dalam program 2U2I, industri boleh latih graduan untuk memenuhi keperluan mereka.

S: Bermakna pihak industri boleh mencontohi program UPM dan ISP ini?

J: Ya. Kami amat menggalakkan mereka mempelajari modul yang kami bina ini. Ia boleh membantu industri memenuhi keperluan mereka yang mahukan graduan serba boleh untuk bekerja. Saya fikir industri perlu datang kepada universiti, bincang dan rangka bersama program 2U2I yang bersesuaian atau dapat memenuhi keperluan mereka jika mahu melahirkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. Kehendak industri pun sukar dijangka kerana industri turut berubah. Pada masa sama, jika ada pelajar yang mengikuti latihan di industri, latih dan ajar mereka dengan betul agar pelajar terdedah dengan suasana pekerjaan sebenar.

S: Siapakah yang perlu memulakan inisiatif ini?

J: Kedua-dua pihak perlu berusaha. Ia tidak sukar kerana di universiti, setiap program yang ditawarkan, ada jawatankuasa penasihat diwakili orang universiti dan industri. Di situ kita boleh kembang dan perluaskan lagi program yang bersesuaian untuk ditawarkan kepada pelajar dan memenuhi kehendak industri. Dalam usaha mengembangkan lagi program akademik yang ditawarkan, ia harus dirangka bersama industri.

S: Apakah bentuk kerjasama yang perlu industri dan universiti lakukan untuk menjamin kebolehpasaran graduan?

J: Kita perlu sentiasa berjumpa dan berbincang agar industri tahu apa program yang universiti tawarkan. Kadangkala ada industri yang tidak tahu program yang universiti tawarkan. Komitmen daripada pihak industri amat penting. Cuma isunya, ada industri hendak terus mendapat hasilnya. Mereka berharap graduan yang diambil bekerja boleh terus bekerja. Graduan juga memerlukan masa untuk belajar suasana bekerja dalam industri. Beri tempoh mereka menyesuaikan diri.

S: Perlukah universiti dan industri mewujudkan jawatankuasa khas untuk membincang serta menangani isu kebolehpasaran graduan?

J: Kita sudah ada jawatankuasa penasihat bagi setiap program akademik yang ditawarkan. Ia diwakili pihak industri, universiti dan kementerian. Apa yang penting adalah bidang tumpuan yang hendak ditekankan. Setiap universiti pula sudah ada bidang pengkhususan sendiri seperti UPM yang mengkhususkan kepada pertanian. Justeru, ia lebih fokus. Universiti juga mempunyai Timbalan Naib Canselor menjaga jaringan industri, ini boleh membantu menangani isu graduan. Universiti juga menyemak setiap program akademik yang ditawarkan setiap lima tahun. Jika perlu, mungkin kita wujudkan pula program akademik tiga tahun di universiti dan setahun di industri (3U1I) untuk membolehkan graduan didedahkan dengan suasana kerja di industri.

S: Bermakna pihak industri tidak boleh menyalahkan universiti kononnya gagal melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri?

J: Kita jangan mengukur keupayaan graduan yang baru tamat pengajian dengan pengalaman yang kita miliki. Yang penting beri mereka kursus atau latihan awal untuk memahami selok belok suasana kerja. Proses ini mengambil masa. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi), sasaran kementerian adalah melahirkan graduan yang holistik. Antaranya menggalakkan mereka terbabit dalam aktiviti kesukarelawanan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan berkomunikasi. Ini supaya mereka lebih ‘kenal orang’ dan bercampur dengan orang lain. Kementerian juga mewujudkan Amalan Pembelajaran Berimpak Tinggi (HIEP) untuk graduan mengikuti proses belajar berkhidmat. Mereka akan turun ke bawah berjumpa masyarakat dan membantu mereka dalam program yang akan ditentukan bagi melahirkan graduan serba boleh.

Sumber: Berita Harian