PM setuju SK Suba Buan dipindah elak ditenggelami banjir

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra dengan penduduk ketika melakukan tinjauan mesra di kampung Suba Bau hari ini. – Foto BERNAMA

BAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini meluluskan permohonan penduduk memindahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Suba Buan di kampung berkenaan yang kerap dilanda banjir sejak hampir 50 tahun lalu ke lokasi lain. Sekolah itu memberi kemudahan kepada murid dari tiga kampung, iaitu Kampung Suba Buan, Kampung Suba Bau dan Kampung Grogo. “Saya dimaklumkan kampung ini kerap dilanda banjir hingga sekolah tidak lagi sesuai di sini. Saya bersetuju dengan permintaan penduduk untuk memindahkan sekolah ini ke tempat lebih tinggi dan tapaknya akan kita kenal pasti,” katanya ketika melakukan tinjauan mesra di kampung itu hari ini. Selain memindahkan sekolah, Najib turut mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengkaji langkah untuk menaiktaraf jalan serta jambatan di kampung itu yang kerap ditenggelami banjir. “Kajian itu termasuk anggaran kos untuk melaksanakan projek berkenaan bagi mengelak laluan daripada terus ditenggelami air,” katanya.

Sumber: Berita Harian