Peluang lepasan SPM, 
STPM kumpul maklumat

image

Sinarsinari Mohd Hussain ( kiri ) memberi penerangan kepada pengunjung Karnival Pendidikan Mara di Alor Setar, Kedah, semalam. utusan/Safrizal Azmi 

ALOR SETAR 13 Mac – Karnival Pendidikan Mara 2016 memberi peluang kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapatkan maklumat pusat pengajian mahupun bidang yang diminati untuk melanjutkan pelajaran.

Tinjauan Utusan Malaysia di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di sini mendapati petugas-petugas di setiap gerai pameran bertungkus-lumus memberi penerangan sebaik mungkin kepada pengunjung.

Penolong Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal (Urusan Pelajar) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Sinarsinari Mohd. Hussain berkata, ramai pengunjung ke ruang pamerannya untuk mendapat maklumat tentang peluang menyambung pengajian di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

“Daripada jumlah pengunjung yang diterima, saya percaya kesedaran tentang bidang kemahiran ini semakin bertambah. Semalam sahaja, kita menerima kira-kira 500 pelajar lepasan SPM dan STPM datang ke sini dan menunjukkan minat untuk menyambung pengajian di IKM mahupun KPTM.

“Jadi, kita cuba membantu mereka untuk membuat permohonan kerana tarikh tutup pada 30 Mac ini. Bagaimanapun, kita masih mempunyai sesi Julai yang permohonannya dibuka sehingga 29 April ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu akan meneruskan jelajah di Pulau Pinang, Pahang, Perak, Johor, Sabah, Terengganu, Melaka dan berakhir di Selangor pada 16 dan 17 April ini.

Sementara itu, Eksekutif Pemasaran Kolej Penerbangan Admal, Badrun Hisham Saripuddin memberitahu, pihaknya sama sekali tidak menyangka akan menerima sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung di negeri ini.

“Pada tahun lalu, pengunjung di negeri ini tidak begitu minat tentang kursus yang ditawarkan di kolej penerbangan kami, namun situasi berbeza pada Karnival Pendidikan Mara 2016 ini.

“Ramai yang menunjukkan minat untuk mengetahui peluang kerjaya apabila meneruskan pengajian di kolej kami, di samping ingin mendapatkan maklumat tentang kos pengajian dan pihak yang menawarkan pinjaman.

“Setakat semalam sahaja, kami menerima lebih 60 permohonan sedangkan pada setiap pengambilan bagi satu-satu kursus hanya mempunyai 120 tempat,” katanya.

 

 

Sumber : Utusan Malaysia

%d bloggers like this: