Karnival Pendidikan Mara Sarawak terima hampir 5,000 pengunjung

 

KUALA LUMPUR 13 Mac – Hampir 5,000 pengunjung menghadiri Karnival Pendidikan Mara 2016 selama dua hari yang berakhir hari ini di Hills Shopping Centre, Kuching, Sarawak.

Pegawai Latihan Mara Negeri Sarawak, Gita Omar berkata, karnival tersebut bertujuan menyediakan panduan dan nasihat kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berhubung hala tuju mereka.

Menurut beliau, bandar tersebut merupakan lokasi ketiga penganjuran karnival yang turut diadakan serentak di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), Alor Setar, Kedah.

“Sebanyak 48 pempamer termasuk Institut Pendidikan Mara (Ipma) serta universiti awam dan swasta menyertai pameran ini. Penganjuran karnival ini merupakan platform terbaik kepada lepasan SPM dan STPM untuk mendapatkan panduan secara terus tentang pemilihan tempat melanjutkan pelajaran pilihan.

“Kuching merupakan lokasi ketiga karnival setelah lokasi terdahulu, Kuala Lumpur dan Kelantan mendapat sambutan hangat daripada kumpulan sasar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, kira-kira 50 peserta daripada pelbagai latar belakang telah menyertai Bengkel Wartawan Kadet anjuran Utusan Malaysia sempena Karnival Pendidikan Mara 2016 di bandar tersebut.

Dalam bengkel itu, Pengarang Kanan Media Baharu Utusan Malaysia, Gamal Nasir Mohd. Ali memberi penerangan khusus selama dua jam berhubung cabaran yang dihadapi wartawan masa kini dan kaedah bagi meminumkan perkara tersebut.

Peserta bengkel, Siti Nor Aleeza EasKandar, 18, berkata, sebagai penuntut dalam bidang fotografi di GiatMara Siolkandis, Kuching, dia menyertai bengkel itu bagi menimba pengetahuan dan pengalaman.

“Memandangkan bidang fotografi dan kewartawanan saling berkait rapat, saya mahu mengambil peluang menyertai bengkel yang dianjurkan Utusan Malaysia secara percuma ini bagi mendapatkan maklumat lebih tepat tentang dunia kewartawanan,” katanya.

Selain penganjuran Bengkel Wartawan Kadet tersebut, Utusan Malaysia turut menyediakan aktiviti lain seperti penebusan produk eksklusif, cabutan nombor bertuah dan jualan produk terbitan anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad, Utusan Karya Sdn. Bhd, pada harga diskaun sebanyak 25 peratus. Di samping itu, pe­ngunjung turut berpeluang melanggan akhbar digital Utusan Malaysia pada harga serendah RM10.

Sumber : Utusan Malaysia

– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/karnival-pendidikan-mara-sarawak-terima-hampir-5-000-pengunjung-1.200420#sthash.NFd0gCWJ.dpuf

 

%d bloggers like this: