2 guru Malaysia sertai forum pendidikan global

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kanan) bersama dua guru dari Malaysia yang dicalonkan untuk Anugerah Guru Global 2016, iaitu Noorjahan Sultan (kiri) dan Vanesri Kasi (dua dari kiri) di Dubai. – Foto Mohd Azrone Sarabatin

DUBAI: Walaupun tiada dalam kelompok 10 guru disenarai pendek sebagai penerima Anugerah Guru Global 2016, dua wakil Malaysia tetap berpuas hati terpilih hingga ke peringkat 50 calon terakhir. Ia cukup untuk melayakkan Noorjahan Sultan, 45, dari Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama, Kuantan, Pahang dan Vanesri Kasi, 26, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Khalidi, Muar, Johor menghadiri Forum Pendidikan dan Kemahiran Global 2016 di Atlantis The Palm di sini, semalam dan hari ini. Noorjahan berkata, gagal memasuki kelompok 10 calon akhir bukan bermakna sistem pendidikan negara berada pada tahap rendah, sebaliknya ada calon yang dinilai dari aspek cabaran mengajar di negara mereka yang bergolak, dilanda peperangan, keganasan, miskin dan serba kekurangan. “Layak menghadiri forum antarabangsa itu pun cukup untuk memberi peluang kepada saya menimba ilmu baharu untuk dikongsi bersama pendidik di negara kita,” katanya kepada media Malaysia, hari ini. Bagi Vanesri pula, sebagai guru kelas pemulihan, penyertaannya pada forum itu memberi ilham kepadanya untuk memperkenalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran baharu. “Penyertaan ini amat bermakna kepada saya dan pastinya pengetahuan diperoleh hasil pertukaran ilmu dengan delegasi luar akan dimanfaatkan apabila balik ke tanah air,” katanya. Sebanyak 8,000 pencalonan dari 148 negara seluruh dunia dihantar untuk anugerah berprestij itu.

Sumber: Berita Harian