Tiada lagi SKM Tahap 1 Kementerian Pendidikan naik taraf kursus kemahiran

image (1)

WAN MOHD. NOOR WAN ENDUT (kiri) menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada Muhammad Izzat Rosli (dua dari kanan) dari Jurusan Juruteknik Elektrik Rendah dalam Majlis Graduasi Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam di Shah Alam, Selangor, semalam. UTUSAN/Izham Jaafar 

SHAH ALAM 10 Mac – Kementerian Pendidikan berhasrat menaik taraf kursus-kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam pelbagai bidang di sekolah menengah pendidikan khas vokasional di seluruh negara kepada Tahap 2 dan 3 pada masa depan.

Hasrat itu dinyatakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, Wan Mohd. Noor Wan Endut yang mana para pelatih sekolah berkenaan ketika ini sebilangan besarnya memulakan latihan kemahiran pada Tahap 1 sebelum beralih kepada tahap-tahap seterusnya.

“Kita lihat setiap tahun prestasi pencapaian para pelatih sekolah-sekolah menengah pendidikan khas vokasional sebagai baik. Para pelatih didapati menunjukkan kemampuan mereka walaupun memiliki kekurangan fizikal berban­ding dengan pelajar-pelajar normal lain, mereka sebenarnya turut mempunyai keterampilan serta kemampuan yang tinggi.

“Justeru, mungkin pada tahun ini sekiranya tidak ada masalah dari segi kewangan, kita di pihak kementerian berhasrat untuk menaik taraf SKM daripada Tahap 1 terus kepada Tahap 2 dan 3 sebagai permulaan di semua sekolah mene­ngah pendidikan khas vokasional.

“Langkah ini dilihat mampu meningkatkan taraf kemahiran para pelatih selaras dengan perkembangan semasa. Usaha menaiktaraf tahap SKM ini akan melibatkan peningkatan peralatan memandangkan peralatan yang digunakan oleh para pelatih ketika ini adalah sangat lama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis Graduasi Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam di sini hari ini.

Yang hadir sama, pengetua sekolah tersebut, Sazali Mohd. Karli.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Noor turut berharap lebih banyak syarikat pelbagai sektor di negara ini menyediakan peluang kepada pelatih SKM untuk menjalankan latihan dalam pekerjaan termasuk bidang perhotelan.

Katanya, ketika ini tidak banyak syarikat mengambil pelatih SKM khususnya dari sekolah-sekolah menengah pendidikan khas vokasional untuk menjalani latihan di tempat mereka.

Terdahulu, Wan Mohd. Noor menyampaikan sijil SKM Tahap 1 dan 2 melibatkan 57 pelatih.

 

Sumber : Utusan Malaysia

%d bloggers like this: