Pengambilan 25,000 penjawat awam kekal

image

ALI HAMSA menyampaikan Anugerah Felo kepada Sulaiman Mahbob pada Istiadat Penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) dan Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Putrajaya, semalam. Turut menyaksikan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal (kiri). BERNAMA

PUTRAJAYA 9 Mac – Pengambilan 25,000 penjawat awam baharu setiap tahun bagi menggantikan mereka yang bersara diteruskan, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Beliau berkata, ia selaras dengan polisi kerajaan untuk mengekalkan jumlah 1.61 juta penjawat awam bagi disesuaikan dengan bilangan 30 juta penduduk ketika ini.

“Setiap tahun 25,000 penjawat awam menamatkan perkhidmatan kerana bersara dan mereka ini perlu diganti dengan jumlah yang sama melalui pengambilan baharu daripada luar,” katanya mengulas pekeliling dikeluarkan Perbendaharaan Malaysia semalam bertajuk ‘Garis Panduan Langkah-Langkah Mengoptimumkan Perbelanjaan Kerajaan’.

Pekeliling itu antara lain menyebut mengenai membekukan pengambilan perjawatan baharu, memperketat bayaran elaun lebih masa dan pemotongan elaun keraian menteri dan timbalan menteri sebanyak 10 peratus berkuat kuasa awal bulan ini.

Bercakap pada sidang akhbar selepas Istiadat Penganugerahan Diploma Pengurusan Awam (DPA) dan Felo Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini, Ali menjelaskan pengambilan baharu yang tidak dibenarkan ialah apabila wujud keperluan menubuhkan agensi baharu.

“Kita boleh tubuhkan tetapi menjadi tanggungjawab JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan kementerian mencari kakitangan dengan melantik mereka secara penugasan semula daripada kakitangan sedia ada, sama ada daripada dalam kementerian atau kementerian lain.

“Mungkin ada tugas-tugas tertentu agensi telah lapuk atau kepentingannya telah berkurang yang mungkin patut kita tutup atau kurangkan pekerja dan mereka inilah kita perlu tempatkan ke perjawatan di agensi baharu yang diwujudkan itu,” katanya.

Berhubung pemotongan elaun keraian 10 peratus itu, Ali berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu, dan ia hanya melibatkan anggota pentadbiran, bukan perkhidmatan awam.

Mengenai penangguhan pelaksanaan dasar berkursus tujuh hari setahun bagi anggota perkhidmatan awam, beliau berkata, ia merupakan satu langkah penjimatan oleh kerajaan dan berkuat kuasa untuk tahun ini sahaja.

“Walaupun tidak lagi diwajibkan, kementerian dan agensi digalakkan untuk menganjurkan latihan secara dalaman sebagai usaha menambah baik perkhidmatan awam dan keupayaan penjawat awam sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ali berkata, kerajaan merancang melantik pegawai PTD berusia awal 40-an ke jawatan tertinggi dalam pentadbiran awam seperti timbalan ketua setiausaha dalam tempoh lebih cepat (fast track) berdasarkan kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan.

Beliau berkata, walaupun usia masih menjadi faktor diambil kira dalam lantikan ke jawatan penting, namun peredaran masa menuntut PTD yang menyerlah, mempunyai bakat dan memiliki ciri-ciri kepimpinan diberikan tanggungjawab lebih penting selaras dengan kemampuan dan pencapaian masing-masing.

“Perkara ini akan dibincang lebih lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan,” katanya, sambil menambah jawatan tersebut kebiasaannya diisi mereka berumur 50 tahun ke atas.

Pada majlis itu, bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob diumumkan sebagai penerima Anugerah Felo Intan Ke-27. – BERNAMA

 

Sumber : Utusan Malaysia

%d bloggers like this: