Data 75,500 kanak-kanak dalam NCDC

image (2)

ROSMAH MANSOR bersama Yahaya Ibrahim (berdiri, tiga dari kiri) dan Zakaria Kasa (dua dari kanan) serta kanak-kanak Taska Permata dalam Majlis Pelancaran NCDC di Dewan Serbaguna NCDRC, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, semalam. 

TANJUNG MALIM 8 Mac – Seramai 75,500 kanak-kanak di seluruh negara dipantau dan diprofilkan data mereka menerusi Sistem Pusat Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC).

Penaung Program Permata, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sistem yang dikelolakan oleh Pusat Penyelidikan dan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) sejak tiga tahun lalu itu berperanan sebagai pangkalan data dan profil kanak-kanak di bawah umur empat tahun yang menghadiri taman asuhan kanak-kanak (Taska) di seluruh negara.

Katanya, pusat berkenaan juga mengumpul data mengenai Taska, profil pendidik dan pengasuh.

“Dalam konteks Permata Negara, NCDC bertanggungjawab dalam menyemak laporan berkaitan perkembangan kanak-kanak yang menerima pendidikan di Pusat Anak Permata Negara dan menyalurkan maklumat mengenai penyelidik dan pakar dalam bidang asuhan dan di­dikan awal kanak-kanak.

“Sistem ini merupakan langkah yang strategik, holistik dan komprehensif bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan awal yang berkesan berdasarkan kurikulum Permata,” katanya.

Beliau berucap dalam Majlis Pelancaran NCDC di Dewan Serbaguna NCDRC, Kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pro-Canselor UPSI, Tan Sri Dr. Yahaya Ibrahim; Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa dan Pengarah NCDRC, Profesor Dr. Sopia Md. Yassin.

Isteri Perdana Menteri berkata, sistem NCDC itu bertepatan dengan hasrat Permata untuk meningkatkan kualiti pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Beliau memberitahu, melalui data yang terdapat dalam sistem itu, Permata boleh memantau kelayakan pendidik dan pengasuh bagi memantapkan kualiti pendidik dan pengasuh melalui penawaran program latihan yang bersesuaian.

“Sistem NCDC memberi manfaat dalam beberapa aspek termasuk memudahkan pendidik dan penga­suh mendapatkan maklumat berkenaan kanak-kanak serta pendekatan yang bersesuaian mengikut tahap perkembangan mereka yang holistik.

“Selain itu, pusat tersebut juga menyediakan laporan lengkap tentang perkembangan kanak-kanak untuk rujukan ibu bapa di mana mereka boleh mengakses pen­ge­tahuan terkini dan amalan terbaik dalam asuhan dan didikan awal kanak-kanak,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, NCDC diharap menjadi pusat rujukan ulung kepada mereka yang ingin mendapatkan data-data berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak dari seluruh negara dan antarabangsa.

“Saya berasa bangga kerana sehingga ke hari ini, sistem NCDC terbukti telah berjaya menjadi pusat rujukan bagi pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

 

Sumber :Utusan  Malaysia

%d bloggers like this: