Guru ‘belasah’ murid tidak patut berlaku

SHAH ALAM 6 Mac – Kementerian Pendidikan kecewa dengan insiden murid dipukul oleh seorang guru hanya kerana lambat dan mengubah suai basikal di sebuah sekolah Tikam Batu, Sungai Petani, Kedah, Rabu lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P. Kamalanathan berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana berten­tangan dengan prosedur pihaknya.

“Saya telah dimaklumkan berhubung perkara itu semalam dan saya amat kecewa kerana ia tidak sepatutnya berlaku lagi.

“Apa pun situasinya, saya tidak rasa guru perlu mengambil tindakan seperti itu (pukul) muktamad,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Karnival Hala Tuju Peluang Pendidikan Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang disempurnakan oleh Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam di sini hari ini.

Akhbar semalam melaporkan, seorang murid darjah enam, Khairul Najwan Jamsari, 12, mendakwa dicekik, ditumbuk dan dipijak oleh seorang guru penolong kanan hanya kerana lambat ke sekolah dan menggunakan basikal yang diubah suai sebelum diberi RM2 untuk menutup mulut.

Bapanya, Jamsari Mohammad Hassan, 46, mendakwa, akibat kejadian itu, anaknya lebam pada bahagian leher, kaki kanan dan lutut kiri serta bengkak bahagian muka.

Mengulas lanjut, Kamalanathan memberitahu, guru sepatutnya memberi kaunseling atau memanggil ibu bapa murid yang mempunyai masalah disiplin, bukan memukulnya.

“Jika budak bermasalah, bagi kaunseling dan panggil ibu bapa, itu cara kita tangani.

“Biar saya dapatkan laporan siasatan dulu, selepas itu baharulah tindakan susulan akan diambil,” jelasnya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/guru-8216-belasah-8217-murid-tidak-patut-berlaku-1.197910#sthash.BuQEkMTp.dpuf

%d bloggers like this: