Sekolah, PPD selesaikan kes guru didakwa cekik, pijak murid –

PADANG TERAP 6 Mac – Kementerian Pendidikan meminta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Muda dan pihak sekolah menyelesaikan secara harmoni, kes guru didakwa mencekik dan memijak seorang murid tahun lima di sebuah sekolah di Sungai Petani, Rabu lalu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya menye­rahkan kepada PPD dan sekolah berkenaan untuk menyelesaikan perkara itu termasuk mengatur pertemuan dengan keluarga murid.

“Apa yang terbaik adalah selesaikan secara harmoni iaitu menerusi pertemuan guru dan ibu bapa murid terbabit dengan kehadiran guru besar sebagai perantara,” katanya selepas Majlis Penyerahan Telaga Tiub di Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Sidiqiah, Padang Kerasak Naka Kuala Nerang di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai kejadian seorang murid tahun enam yang cedera dan lebam pada leher dan kaki didakwa akibat dicekik dan dipijak seorang guru di sebuah sekolah di Sungai Petani pada Rabu lalu.

Murid itu mendakwa diperlakukan sedemikian oleh seorang guru yang juga Penolong Kanan Hal Ehwal Murid itu kerana tindakannya membawa basikal yang diubah suai ke sekolah.

Tambah Mahdzir, kementerian tetap memandang serius perkara itu dan akan mendapatkan laporan berhubung kes tersebut termasuk langkah penyelesaian sebagai tindakan lanjut.

Sumber: Utusan Malaysia

– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/sekolah-ppd-selesaikan-kes-guru-didakwa-cekik-pijak-murid-1.197941#sthash.Jv4ovQtt.dpuf

%d bloggers like this: