SPM 2015: Pelajar lemas antara calon cemerlang

03mangsa-transformed_0

PENGETUA Sekolah Menengah Sains  (SMS) Batu Pahat, Mohd Alim Konting, (kiri sekali) menunjukkan slip keputusan SPM Allahyarham Muhammad Wafiq, yang mendapat 9A kepada bapa dan ibu arwah, Mohd Noor Ismail dan Zabedah Kamdan (duduk). – Foto NSTP

BATU PAHAT: Suasana sayu menyelubungi dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Batu Pahat, di sini, apabila seorang pelajarnya yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Rhu 10, Setiu, Kuala Terengganu pada 21 Disember lalu, muncul antara calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 cemerlang. Keputusan cemerlang 9A dicatatkan Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, diumumkan Pengetua sekolah itu, Mohd Alim Konting sebelum slip keputusan disampaikan kepada ibu dan bapa arwah, Zabedah Kamdan, 56, dan Mohd Noor Ismail, 59. Ketika ditemui, Mohd Alim berkata, keputusan cemerlang dicatatkan Allahyarham memang dalam jangkaan pihak sekolah berikutan prestasinya yang amat baik sepanjang sesi pembelajaran di situ.  “Allahyarham mendapat 7A dalam peperiksaan percubaan, namun melihat usaha gigihnya ketika ulang kaji pelajaran, kami percaya dia akan mendapat keputusan cemerlang pada SPM lalu.  “Suasana gembira bertukar sayu ketika pengumuman arwah turut tersenarai dalam 28 calon cemerlang yang mendapat 9A dalam SPM 2015 apabila ibu bapa, rakan serta gurunya tidak dapat menahan perasaan pilu dan mengalirkan air mata” katanya.  Ketika kejadian pada 21 Disember lalu, Muhamad Wafiq dan rakannya, Muhamad Naim Adnan, 17, yang mengikuti program keagamaan berbentuk kem ibadat, lemas ketika mandi di Pantai Rhu 10, Setiu.

Sumber: Berita Harian