SPM 2015: 9,721 calon peroleh semua A

KHAIR MOHAMAD YUSOF

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof mengadakan Sidang Media Pengumuman Analisis keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015. – Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Seramai 9,721 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 mendapat keputusan cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran, menurun berbanding 11,289 calon pada 2014. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof, berkata jumlah itu menurun iaitu 2.38 peratus daripada calon yang menduduki peperiksaan itu, berbanding 11, 289 calon (2.63 peratus) pada 2014. Mengumumkan demikian pada sidang media di sini sebentar tadi, Khair berkata, Gred Purata Nasional (GPN) bagi SPM 2015 juga menurun kepada 5.15, berbanding 5.08 pada 2014. “Jurang pencapaian calon di bandar dan di luar bandar mengecil sebanyak 0.05 iaitu 0.5 pada tahun 2015 berbanding 0.55 pada 2014. “Berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP), sebanyak 38 daripada 73 mata pelajaran menunjukkan peningkatan prestasi, 34 mata pelajaran menurun, manakala satu mata pelajaran mengekalkan prestasinya,” katanya. Seramai 440,682 calon mendaftar untuk menduduki SPM 2015 di 34,501 pusat peperiksaan seluruh negara dari 2 November hingga 8 Disember lalu. Mengenai penurunan dari segi calon mendapat keputusan cemerlang dan GPN itu, Khair berkata, keputusan itu masih berada dalam julat dibenarkan dan ia tidak membabitkan perubahan yang ketara. “Bagaimanapun, setiap negeri akan membuat analisis mengenai keputusan masing-masing,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Advertisements

SPM 2015: Penurunan GPN masih normal – Mahdzir

MAHDZIR KHALID / SIDANG MEDIA

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika sidang media di Putrajaya. – Foto Mohd Fadli Hamzah

KUALA SELANGOR: Keputusan Gred Purata Nasional (GPN) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 yang menurun 0.07 peratus pada tahun ini masih dikategorikan sebagai normal. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata selagi penurunan terbabit tidak melebihi tiga peratus, ia tidak mendatangkan masalah kepada bidang pendidikan negara. “Bagaimanapun, kementerian akan melakukan analisis terhadap penurunan ini bagi mengenal pasti puncanya. Analisis membabitkan tiga aspek, iaitu berdasarkan subjek, kawasan bandar dan luar bandar serta kaum,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan rasmi ke Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor, di sini hari ini.

Sumber: Berita Harian

 

SPM 2015: Pelajar lemas antara calon cemerlang

03mangsa-transformed_0

PENGETUA Sekolah Menengah Sains  (SMS) Batu Pahat, Mohd Alim Konting, (kiri sekali) menunjukkan slip keputusan SPM Allahyarham Muhammad Wafiq, yang mendapat 9A kepada bapa dan ibu arwah, Mohd Noor Ismail dan Zabedah Kamdan (duduk). – Foto NSTP

BATU PAHAT: Suasana sayu menyelubungi dewan Sekolah Menengah Sains (SMS) Batu Pahat, di sini, apabila seorang pelajarnya yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Rhu 10, Setiu, Kuala Terengganu pada 21 Disember lalu, muncul antara calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 cemerlang. Keputusan cemerlang 9A dicatatkan Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, diumumkan Pengetua sekolah itu, Mohd Alim Konting sebelum slip keputusan disampaikan kepada ibu dan bapa arwah, Zabedah Kamdan, 56, dan Mohd Noor Ismail, 59. Ketika ditemui, Mohd Alim berkata, keputusan cemerlang dicatatkan Allahyarham memang dalam jangkaan pihak sekolah berikutan prestasinya yang amat baik sepanjang sesi pembelajaran di situ.  “Allahyarham mendapat 7A dalam peperiksaan percubaan, namun melihat usaha gigihnya ketika ulang kaji pelajaran, kami percaya dia akan mendapat keputusan cemerlang pada SPM lalu.  “Suasana gembira bertukar sayu ketika pengumuman arwah turut tersenarai dalam 28 calon cemerlang yang mendapat 9A dalam SPM 2015 apabila ibu bapa, rakan serta gurunya tidak dapat menahan perasaan pilu dan mengalirkan air mata” katanya.  Ketika kejadian pada 21 Disember lalu, Muhamad Wafiq dan rakannya, Muhamad Naim Adnan, 17, yang mengikuti program keagamaan berbentuk kem ibadat, lemas ketika mandi di Pantai Rhu 10, Setiu.

Sumber: Berita Harian