Pendekatan bersepadu rancang pembelajaran abad ke-21

Dr. Ismail Zain (enam dari kiri) bersama peserta program taklimat dan perkongsian ilmu pembelajaran abad ke-21 PPD Klang di Klang, Selangor, baru-baru ini.

Model Reka Bentuk Pengajaran Integral ASIE yang memenangi anugerah di Persidangan Pendidikan di China dan United Kingdom tahun lalu adalah satu pendekatan bersepadu yang dapat membantu guru dalam merancang strategi pengajaran abad ke-21 dengan lebih berkesan.

Hal ini diakui Pegawai Pendidikan Daerah Klang dan guru-guru dari 17 Sekolah Abad Ke-21 Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Klang yang mengikuti program taklimat dan perkongsian ilmu pembelajaran abad ke-21 di PPD Klang, Selangor, baru-baru ini.

Bagi Pegawai Pendidikan Daerah Klang, Adliyah Ramli, Model ASIE amat bersesuaian dengan keperluan pembelajaran abad ke-21 kerana dapat membantu guru-guru merancang pengajaran dengan memberi perhatian terhadap komponen-komponen yang bersifat pembelajaran berpusatkan murid.

“Lembaran Kerja Integrasi Pelbagai yang diperkenalkan model ini mampu menjadi panduan kepada guru dalam merancang pengajaran dan sebagai senarai semak bagi pegawai-pegawai PPD memantau perkembangan perancangan guru ke arah pembelajaran abad ke-21,” katanya.

ASIE adalah akronim bagi kompo­nen A – Analyse (Analisis), S – Strategise (menyusun strategi), I – Implement (melaksana) dan E – Evaluate (menilai).

Model ASIE ini dibangunkan oleh bekas Pensyarah Cemerlang Gred Khas JUSA B Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh, Perak, Dr. Ismail Zain dengan akademia Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Balakrishnan Muniandy.

Artikel Model ASIE juga diterbitkan dalam Jurnal Antarabangsa serta mendapat tawaran untuk dibukukan oleh penerbit antarabangsa Scholar Press yang berpusat di Jerman.

Ketika ini, ujian rintis penggunaan Model ASIE dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan di tiga PPD iaitu Kuala Selangor, Batu Pahat dan Klang yang secara keseluruhan melibatkan lapan buah sekolah dan 300 guru.

Peserta program dan guru yang terlibat dengan ujian rintis dibekalkan dengan nama pengguna dan kata laluan untuk mengakses model atas talian ini.

Guru yang berminat dan ingin menggunakan model ini, sila dapatkan nama pengguna dan kata laluan secara percuma di http://www.asiemodel.com.

Sementara itu, Ketua Penolong PPD Unit Akademik PPD Klang, Siti Hajar Ayub berpendapat, Model ASIE ini bersistematik dan memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk diintegrasikan dalam perancangan guru ke arah meningkatkan mutu pendidikan negara.

Pendapat ini disokong Rakan Peningkatan Sekolah (SIP+), Mohd Azuan Mohd Nawawi yang menyatakan bahawa aspek perancangan pengajaran adalah penting selain aspek pedagogi dan teknologi.

“Oleh itu, Model ASIE merupakan nilai tambah bagi guru merancang pembelajaran abad ke-21 secara lebih bersepadu ke arah menghasilkan pengajaran yang berkesan di dalam bilik darjah,” ujarnya.

Rakannya, Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah (SISC+), Maz­lan Abdul Kadir memberitahu, Model ASIE amat membantu guru menyediakan PdP yang berkesan kerana menggabungkan semua elemen dan prinsip pembelajaran yang efektif ke arah membentuk pedagogi pembelajaran abad ke-21.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: