Guru Besar SJKC Pai Chee akan 
dirujuk ke jawatankuasa tatatertib

MAHDZIR KHALID (dua dari kanan) bersalaman dengan kakitangan Jabatan

MAHDZIR KHALID (dua dari kanan) bersalaman dengan kakitangan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan semasa mengadakan lawatan ke jabatan berkenaan di Putrajaya, semalam. Turut sama, Madinah Mohamad (kanan).

PUTRAJAYA 11 Feb. – Guru Besar di sebuah sekolah rendah jenis kebangsaan di Mersing, Johor yang didakwa terbabit dalam serangan berbaur perkauman terhadap seorang guru Melayu akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib sebelum sebarang hukuman diambil ke atasnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekiranya guru besar tersebut didapati me­langgar peraturan dalam perintah am sebagai penjawat awam, hukuman tegas boleh dikenakan.

“Guru Besar berkenaan buat sementara waktu dipindahkan ke Pejabat Pendidikan daerah sehingga menunggu siasatan penuh diselesaikan untuk dibawa kepada jawatankuasa tatatertib dan seterusnya diputuskan oleh Jabatan Pendidikan negeri mengenai bentuk hukuman yang bakal dikenakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWP) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Setia­usaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Sebelum ini, seorang guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pai Chee, Mersing, Johor, membuat laporan polis selepas mendakwa seorang lelaki menyerbu masuk ke bilik guru dan menyerangnya.

Dalam laporannya, guru itu mendakwa lelaki tersebut yang juga bapa kepada salah seorang murid melemparkan buku serta peralatan pengajaran ke arahnya.

Pada masa sama, guru tersebut turut mendakwa kejadian itu bukan kali pertama berlaku dan menuduh guru besar sekolah itu sebelum ini cuba memaksanya meletakkan jawatan atau memindahkannya dan dua orang guru Melayu lain di sekolah sama ke tempat lain.

Dalam pada itu, mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pihaknya juga telah mengeluarkan tiga guru Melayu yang dikaitkan dalam laporan polis itu ke sekolah lain dan menggantikan tempat mereka dengan tiga orang guru lain untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.

Sementara itu, mengulas lawatan kerjanya ke JPWP, beliau berkata, pihak kementerian dalam rancangan untuk membina bangunan sendiri bagi menempatkan kira-kira 50 buah PPD di seluruh negara.

Beliau berkata, pada masa sekarang kebanyakan Pejabat Pendidikan daerah menggunakan bangunan sementara di sekolah atau menyewa premis sebagai pejabat pentadbiran.

“Kita akan melihat isu ini secara holistik mengenai kaedah untuk menyelesaikannya, bagaimanapun, perancangan kita ialah untuk membina projek ini dalam fasa kedua Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sekolah/guru-besar-sjkc-pai-chee-akan-8232-dirujuk-ke-jawatankuasa-tatatertib-1.189401#sthash.49BHK7oH.dpuf

%d bloggers like this: