YPC anjur seminar pembelajaran abad ke-21

Sebahagian Guru Penolong Kanan Akademik dan Pentadbiran sekolah-sekolah menengah dan rendah Wilayah Bangsar dan Pudu Kuala lumpur tekun mengikuti Seminar Pembelajaran Abad ke-21 di Kolej YPC IT WEB Kuala Lumpur, baru-baru ini.

YAYASAN Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Seminar Pembelajaran Abad ke-21 untuk 160 orang Guru Penolong Kanan (GPK) Akademik dan Pentadbiran sekolah-sekolah menengah dan rendah Wilayah Bangsar dan Pudu Kuala lumpur di Kolej YPC IT WEB Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pengerusi YPC, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, seminar ini bertujuan membantu meningkatkan pengetahuan dan kepimpinan GPK Akademik dan Pentadbiran di sekolah selaras dengan langkah Kementerian Pendidikan yang mengangkat proses pembelajaran dan pengajaran abad ke-21 sebagai satu kaedah pembelajaran yang konstruktif dan berkesan bagi memenuhi keperluan serta cabaran alaf milenium ini.

“GPK merupakan kumpulan yang akan menjawat jawatan pengetua atau guru besar pada jangka masa panjang justeru,program seperti ini merupakan satu sokongan YPC kepada pihak Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berpengetahuan, berpotensi dan berwibawa,” katanya.

Pendekatan pembelajaran abad ke-21 memberi peluang yang lebih luas kepada setiap pelajar untuk bertindak lebih kreatif dan inovatif dalam proses pembelajaran di bilik darjah, selaras dengan konsep kemahiran berfikir aras tinggi yang dilaksanakan sekarang.

Oleh sebab itu, pengetahuan dan kemahiran mengenai pembelajaran abad ke-21 ini penting kepada GPK kerana mereka merupakan kumpulan pemimpin yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk memimpin guru-guru merancang dan melaksanakan bidang kurikulum di sekolah.

Seminar itu melibatkan tiga orang penceramah daripada Ja­batan Pendidikan Wilayah Perseku­tu­an Kuala Lumpur yang berkongsi pengetahuan di samping memandu pe­serta kaedah melaksanakan pem­­belajaran dan pengajaran abad ke-21 secara lebih efektif bagi mencapai sasaran yang diharap­kan.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: