SMK Ismail Petra juara Drama Komsas

tenaga pengajar dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra, Kota Bharu muncul johan keseluruhan Pertandingan Drama Komsas peringkat Kebangsaan di Kuala Ibai, Terengganu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 8 Nov. – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ismail Petra muncul johan keseluruhan Pertandingan Drama Komsas (Komponen Sastera) peringkat Kebangsaan 2015 yang diadakan di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Terengganu baru-baru ini.

Sekolah terbabit yang diwakili 12 pelajar tersebut telah berjaya menarik perhatian juri menerusi drama Inflakasta yang diadaptasi daripada buku teks tingkatan dua itu.

Lebih membanggakan apabila Tengku Abdullah Aidiel Tengku Haizan, 16, diangkat sebagai Pe­ngarah Terbaik manakala Ariff Al-Hafiz Zulkifli, 14, dan Tengku Amelia Tengku Roslan, 16, pula dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik.

Menurut guru pembimbingnya, Muhd. Zaidin Hussin, sekolah terbabit turut mengungguli ka­tegori Sinematografi Terbaik dalam pertandingan tersebut.

“Ini percapaian terbaik yang pernah kami perolehi semenjak menyertai pertandingan itu sejak 2007 kerana sebelum ini, wakil SMK Ismail Petra hanya pernah memenangi tempat ketiga sahaja.

“Penat lelah berlatih dalam tempoh dua bulan ini memang berbaloi apabila kami berjaya menjadi juara malah turut mengungguli empat ketegori yang lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Naib Johan disandang oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perling, Johor manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Gombak Setia, Selangor pula mendapat tempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Pe­ngarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Rozainum Ahmad.

Muhd. Zaidin, persaingan dalam pertandingan itu sangat mencabar pada tahun ini namun dia bersyukur apabila pelajar-pelajarnya telah berusaha memberikan penghayatan dalam lakonan ma­sing-masing.

“Pertandingan ini bukan sahaja memudahkan karya sastera ini mudah difahami pelajar menerusi dram yang dipentaskan malah secara tidak langsung telah berjaya mencungkil bakat-bakat baharu dalam seni lakonan,” ujarnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: