SEMSAS hasilkan papan simen raih emas anugerah MAgIS

PASUKAN Saintis Muda SEMSAS menunjukkan pingat emas, perak dan gangsa yang dimenangi dalam pertandingan inovasi MAgIS di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Inovasi pelajar Sekolah Mene­ngah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMSAS) menghasilkan papan simen menggunakan sisa pertanian berjaya meraih pingat emas dalam Malaysian Agricultural Invention Show (MAgIS) di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut pemenang pingat emas itu, Wan Aishah Wan Fatul, 15, simen yang dihasilkan menggunakan pelepah sawit berdaya saing kerana kosnya rendah tetapi memiliki impak tinggi dari segi kekuatan.

“Penghasilan kepingan simen ini mengambil masa beberapa bulan kerana melibatkan beberapa proses seperti menghancurkan pelepah sawit kepada saiz yang lebih halus agar dapat bercampur sebati de­ngan simen beserta beberapa bahan kimia lain,” jelasnya.

MAgIS yang dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ini disertai oleh pelbagai agensi kerajaan seperti jabatan pertanian negeri, universiti, jabatan perikanan dan sekolah yang melibat 200 projek inovasi.

Dalam pertandingan itu, SEMSAS turut meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Pingat perak dimenangi oleh Muhammad Izzuddin Saiful Hisam, 16, dan Nureen Aliyyah Abdul Mukhti, 15, manakala gangsa diraih oleh Adlin Zulyana Zulkifli, 15, bersama-sama Ernie Farhaliyana Mohd. Zamri, 15.

Sementara itu, Guru Pembim­bing Pasukan Saintis Muda SEMSAS, Mohd. Fakharudin Mahmod memberitahu, kejayaan ini merupakan suntikan motivasi awal kepada mereka yang akan mewakili negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa pada tahun hadapan di beberapa buah negara seperti Taiwan, Indonesia dan China.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: