Peroleh 5A tetapi 
Nor Izzah tetap sedih

Nor Izzah Insyirah Suhaimi menunjukkan keputusan cemerlang 5A UPSR di SK Seri Geliga, Kemaman, Terengganu, semalam.

KEMAMAN 17 Nov. – Kejayaan memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 memang membanggakan Nor Izzah Insyirah, 12, namun kegembiraannya itu tidak dapat dikongsikan bersama dengan ibu dan ayahnya.

Nor Izzah Insyirah Suhaimi menunjukkan keputusan cemerlang 5A UPSR di SK Seri Geliga, Kemaman, Terengganu, semalam.

Ini kerana ibunya, Norhayati Sulong dan ayahnya, Suhaimi Awang maut setelah bot yang dinaiki terbalik semasa banjir besar melanda daerah ini pada penghujung tahun lalu, yang sekali gus menjadikannya dan bersama lima adik-beradik lain sebagai yatim piatu.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga itu bagaimanapun menjadikan ibu saudaranya Radziana Sulong yang juga guru di sekolah sama sebagai pengganti.

“Saya akan belajar bersungguh-sungguh, menjadi seorang doktor sebagaimana saya beritahu kepada emak dan ayah dahulu,” katanya yang ditemani ibu saudaranya kepada Utusan Malaysia selepas majlis pengumuman keputusan di sekolah hari ini.

Katanya lagi, sebelum ini beliau bercadang melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Sains Dungun tetapi kini berhasrat belajar di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu.

Nor Izzah mengucapkan terima kasih kepada keluarga, guru dan rakan yang banyak membantu dalam pembelajaran.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Geliga, Hamzah Ahmad memberitahu, seramai 30 orang murid sekolah itu mendapat 5A, 24 orang 4A dan 31 orang 3A.

“Jika dibandingkan pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS), tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya, meningkat daripada 2.25 kepada kepada 1.95,” ujarnya. Beliau mengucapkan tahniah kepada anak-anak, ibu bapa dan guru-guru dengan kejayaan cemerlang yang dicapai.

“Kepada anak-anak yang mendapat keputusan yang kurang baik, didoakan mereka tidak berputus asa kerana perjalanan masih jauh dan ibu bapa tidak harus kecewa,” ujar­nya ketika berucap dalam majlis itu.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: