Kerajaan tidak pinggir sekolah Cina, Tamil

Rosnah Abdul Rashid Shirlin (tengah) menyampaikan sijil tamat sekolah kepada seorang murid dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Tamat Sekolah Tadika Kin Kiau Kinarut di Kinarut, Papar, Sabah, semalam.

PAPAR 16 Nov. – Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di negara ini terutama dalam aspek peruntukan demi kelangsu­ngan sistem pendidikan negara.

Sebaliknya tegas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, peruntukan turut disalurkan kerajaan kepada sekolah-sekolah tersebut melalui Bajet 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menurutnya, dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan menganaktirikan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tidak berasas sama sekali.

“Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi pembangunan dan penyelenggaraan kemudahan pendidikan untuk sekolah jenis kebangsaan Cina serta Tamil, sekolah mubaligh, sekolah berasrama penuh, sekolah agama bantuan kerajaan selain sekolah pondok berdaftar yang mengguna pakai kurikulum kebangsaan.

“Malah, agihan peruntukan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah lebih besar serta baik berbanding sekolah kebangsaan di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyam­paian Hadiah dan Sijil Tamat Sekolah Tadika Kin Kiau, Kinarut kali ke-28 yang turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Papar, Abidin Marjan di sini, hari ini.

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar menjelaskan, sektor pendidikan peringkat rendah dan mene­ngah di negara ini terus diperkasa melalui pelaksanaan Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM41.3 bilion.

Bagi program makanan tambahan, beliau berkata, perkara itu akan diperluas dengan kos tambahan RM173 juta untuk sarapan pagi sekali gus menjadikan kos keseluruhan program berkenaan sebanyak RM423 juta.

“Pemberian bantuan persekolahan sebanyak RM100 dikhususkan kepada pelajar dari keluarga berpendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah turut mengambil kira murid atau pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

“Sehubungan itu, tiada istilah kerajaan meminggirkan pemba­ngunan pendidikan masyarakat Cina dan Tamil. Saya berharap agar masyarakat Cina dan Tamil terus bersatu menyokong usaha kerajaan agar kestabilan politik, ekonomi serta sosial di negara ini dapat dikekalkan,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: