Kejayaan PIBG SK Seksyen 13 kutip dana RM120,000 perlu dicontohi

ZAINUREN MOHD. NOR (tiga dari kiri) diiringi oleh Zulrushdi Mohamed (dua dari kiri) menyampaikan basikal sebagai hadiah kepada pelajar sempena Karnival Riang Ria di SK Sekysen 13, Shah Alam, Selangor, semalam.

SHAH ALAM 8 Nov. – Kejayaan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13 mengumpulkan dana lebih RM120,000 melalui kutipan derma dan penganjuran Karnival Riang Ria untuk membantu pihak sekolah menaik taraf prasarana perlu dicontohi oleh sekolah-sekolah lain.

Pengarah Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd. Nor berkata, ini kerana program seperti itu dapat membantu pihak sekolah menyediakan kemudahan terbaik bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, ini juga dapat membantu meringankan beban sekolah dalam memastikan pelajar mendapat pendidikan sempurna yang akhirnya memberi impak besar kepada pelajar.

“Kita sedia maklum bahawa walaupun kerajaan memberikan bantuan yang besar untuk sektor pendidikan, tetapi kebanyakan sekolah masih ada kekurangan.

“Jesteru kita amat menggalakkan ibu bapa turut serta dalam membantu sekolah dan komitmen yang ditunjukkan oleh PIBG SK Seksyen 13 ini perlu dicontohi oleh sekolah lain,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Riang Ria di SK Sekysen 13 di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SK Seksyen 13, Zulrushdi Mohamed berkata, pihaknya melancarkan kutipan derma itu sejak sebulan lalu dengan setiap pelajar diberikan kad derma untuk dibawa pulang ke rumah masing-masing untuk mendapatkan sumbangan.

“Karnival Riang Ria yang diadakan hari ini pula menekankan konsep berhibur sambil menderma dengan setiap aktiviti yang ditawarkan akan dikenakan bayaran, tetapi hasil kutipannya akan disalurkan ke dalam dana ini.

“Karnival ini juga mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 2,500 pengunjung dan semua hasil kutipan akan digunakan untuk membaik pulih bumbung dewan, menaik taraf tempat perhimpunan pelajar dan bangunan pendidikan khas,” ujarnya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: