Jurang pencapaian sekolah bandar, luar bandar semakin kecil

Mahdzir Khalid (tengah) bersama pelajar yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 17 Nov. – Jurang pencapaian Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar pada tahun ini semakin mengecil dengan perbezaan Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan hanya 0.13 berbanding 0.16 tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah bandar mencatat GPN 2.21, kekal berbanding tahun lalu manakala sekolah luar bandar mencatat GPN 2.34, meningkat 0.04 berbanding 2.38 tahun lalu.

“Ada peningkatan dari segi pencapaian di sekolah luar bandar, ini sangat baik sebab kita selalu melihat perbandingan antara sekolah di kawasan bandar dan luar bandar.

“Saya amat berharap pencapaian sekolah di luar bandar terus meningkat sekali gus merapatkan jurang pendidikan dengan sekolah-sekolah di bandar,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Damansara di sini sempena pengumuman keputusan UPSR hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Dr. Amin Senin; Pengarah Lembaga Peperiksaan, Datin Nawal Salleh dan Guru Besar SK Bukit Damansara, Hanizah Ibrahim.

Mengulas mengenai pencapaian secara keseluruhan, Mahdzir berkata, tahun ini menunjukkan peningkatan dengan GPN yang dicatatkan 2.27 berbanding 2.29 tahun lalu.

Beliau berkata, semakin kecil nilai GPN, semakin baik pencapaian yang ditunjukkan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dan kita berharap pihak kementerian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, sekolah dan guru-guru dapat meningkatkan usaha sekali gus menambah baik pencapaian UPSR pada masa hadapan,” ujar­nya.

Sementara itu, mengulas mengenai penurunan pencapaian bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, Na­wal berkata, perkara sedemikian merupakan perkara biasa yang berlaku setiap tahun terhadap sesetengah mata pelajaran.

“Peningkatan dan penurunan ini perkara biasa, kita telah berlaku adil kepada semua calon de­ngan menyediakan kertas-kertas soalan yang mematuhi piawaian.

“Bagaimanapun untuk melihat punca-punca penurunan ini, kita akan buat kajian secara menyeluruh,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: