Hadiah 5A kepada ibu yang bekerja sebagai tukang sapu di sekolah sama

Rahmah Mohd. Arif kelihatan gembira melihat keputusan Nurin Fatini Mohd. Sukri yang memperoleh 5A ketika ditemui di pekarangan SK Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulang Pinang.

BUTTERWORTH 17 Nov. – Hasrat seorang murid tahun enam untuk menggembirakan ibunya yang be­kerja sebagai tukang sapu di sekolah sama akhirnya tercapai de­ngan ke­putusan cemerlang 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan, hari ini.

Lebih mengharukan, Nurin Fati­ni Mohd. Shukri, 12, menghadiahkan keputusan cemerlang itu kepada ibunya, Rahmah Mohd. Arif, 41, ketika ibunya itu sedang bekerja membersihkan sekolahnya di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Tasek Gelugor di sini.

Kejayaan Nurin Fatini itu juga adalah pencapaian membanggakan baginya kerana dia bukanlah antara pelajar yang dijangka memperoleh keputusan cemerlang selepas hanya mendapat 1A dalam peperiksaan sebelum ini.

Menurut Rahmah, sejak beberapa hari lalu, dia berasa gusar me­ngenangkan keputusan yang bakal diperoleh anak keduanya itu kerana tidak mahu Nurin Fatini terlalu berharap atau kecewa.

Malah, tambahnya, pagi ini dia juga tidak sanggup untuk mengetahui keputusan anaknya itu meskipun berada di sekolah sama sehinggalah dimaklumkan berita gembira itu oleh suaminya, Mohd. Shukri Husain, 39.

“Pencapaian Nurin Fatini semakin baik selepas dia mengikuti kelas tuisyen di sekolah setiap hari termasuk memperoleh keputusan 4A dalam ujian percubaan UPSR sebelum ini,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA

%d bloggers like this: