ECS lambang prestasi terbaik KPM dalam inovasi

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Kementerian Pendidikan menunjukkan prestasi terbaik dalam bidang inovasi melalui Eksplorasi Cabaran Sejarah (ECS) yang merupakan alat bantu mengajar apabila berjaya memenangi pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.  Pasukan Master-H yang mewakili Kementerian Pendidikan itu mempertaruhkan ECS ciptaan Guru Cemerlang Sejarah negeri Selangor, Mohd. Zulhelmi Mansor dalam setiap pertandingan juga bakal mewakili Malaysia dalam pertandingan sempena Persidangan Kualiti dan Penambahbaikan (ASQ) di Amerika Syarikat (AS) tahun depan.  Ketua pasukan Master-H, Suraimi Rithwan berkata, sebelum mendapat pengiktirafan antarabangsa, ECS telah berjaya memenangi pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan. “Kami pada mulanya berjaya mencuri hati juri dan menjadi Johan Sektor Awam serta merupakan pemenang anugerah utama dalam pertandingan National Convention on Team Excellence anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Kuantan, Pahang. “Selepas itu, kami berjaya merakam sejarah serta mengharumkan nama negara apabila muncul juara dan dianugerahkan Anugerah Emas iaitu anugerah tertinggi dalam pertandingan ICQ 2014 yang diadakan di Tokyo, Jepun,” katanya dalam sidang akhbar sempena kejayaan ECS di sini baru-baru ini. ECS merupakan alat bantu mengajar yang datang dalam bentuk fizikal dan perisian komputer tiga dimensi yang boleh digunakan secara percuma di laman sesawang http://www.eksplorasi-cabaran.com.my.

Permainan dalam bentuk fizikal pula hanya digunakan oleh pelajar sekolah teknik setakat ini.  Menurut Suhaimi, ECS yang dibangunkan sejak 2010 merupakan ciptaan Mohd. Zulhelmi dengan bantuan bekas pelajar Sekolah Menengah Teknik yang kini belajar di Jepun dalam membuat perisiannya. “Jika kita ingin membayar syarikat luar untuk membuat perisian animasi ECS, mungkin menelan belanja sehingga RM2 juta hingga RM3 juta tetapi dengan kepakaran bekas pelajar kita, penjimatan kos dapat dilakukan.  “Ini juga merupakan bukti kepada hasil pendidikan teknik yang ternyata boleh menyumbang kepada inovasi dan penghasilan produk berkualiti tinggi,” katanya.

Tambah Suhaimi, sekiranya ECS digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) semua sekolah, ia bukan sahaja dapat menjimatkan masa tetapi kos pembelajaran serta dapat membantu dalam pemeliharaan alam sekitar.  Jelasnya, pihak kementerian juga sedang berbincang untuk memperluaskan ECS kepada mata pelajaran lain dan digunakan di seluruh negara malah boleh dipasarkan di peringkat global.  “Mengikut kajian yang telah kita jalankan, ECS dapat menjimatkan masa pembelajaran sebanyak 54.55 peratus, menjimatkan kos sebanyak RM73.5 juta setahun bagi kos tuisyen subjek Sejarah dan pengurangan penggunaan buku dapat menjimatkan penggunaan pokok untuk kertas sebanyak 50 peratus.  “Bukan itu sahaja, kaedah pembelajaran menggunakan ECS ini juga dapat membuatkan pelajar seronok untuk belajar mata pelajaran sejarah yang sering dilabelkan sebagai  ‘terlalu bosan’,” katanya.  Dalam pada itu, Mohd. Zulhilmi berkata, beliau mendapat inspirasi membuat permainan tersebut daripada permainan papan Monopoly yang menjadi aktiviti masa lapangnya.

“Saya seorang guru Sejarah dan saya sering melihat anak-anak murid mengantuk semasa saya mengajar membuatkan saya memikirkan cara untuk mereka menjadi seronok dengan mata pelajaran yang sebenarnya menarik ini.  “Daripada situ saya mula bereksperimen untuk membangunkan ECS yang merupakan salah satu alat bantu mengajar yang sangat menarik dan saya kira praktikal untuk digunakan di seluruh negara,” katanya.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA